Mencari Keberkatan Rumah Tangga

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj_PUOHgJy3K04ifIVVx1KtcxEcbBNVKwR7Ik6qrh4MZQ-m1GvJ0y430B7jg3mIUsmlksF9XAv4E7_I0EJF14fqWpupbLafZHIac-wM_bwICStJzBtl4EF_PgZNFIckTINjqo1_6OzaHYM/s692/gerbang+perkahwinan.jpg

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

PEMINANGAN dikira sebagai langkah awal sebelum bermulanya kehidupan berumah tangga yang dihalalkan melalui akad nikah.

Hukum meminang seseorang wanita bagi tujuan pernikahan adalah harus.

Namun menurut pendapat Imam Syafie di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj menyatakan hukumnya adalah al-istihbab atau sunat.

Daripada pendapat berkenaan, terdapat kebaikan yang boleh diperoleh menerusi proses peminangan jika ia dilakukan menurut panduan syarak.

Peminangan membawa makna menzahirkan dan mengiklankan kehendak seseorang lelaki untuk berkahwin dengan wanita pilihannya.

Ia menandakan berlakunya proses perkenalan antara bakal pasangan suami isteri. Keadaan itu dikira wajar kerana ibu bapa kedua-dua belah pihak mengetahui hubungan anak mereka.

Dalam adat masyarakat Melayu, selain peminangan terdapat satu lagi peringkat yang dinamakan pertunangan.

Ketika peminangan dilakukan, biasanya ibu bapa kepada wanita itu tidak memberi jawapan muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil ‘bertangguh’.

Hal berkenaan bertujuan untuk berpakat dengan ahli keluarga dan waris walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu.

Selepas peminangan diterima, penghantaran tanda daripada lelaki kepada wanita yang bakal dikahwininya dilakukan melalui majlis bertunang.

Majlis itu membawa pengertian bahawa wanita itu sudahpun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Terdapat perbezaan antara peminangan dan pertunangan dalam adat Melayu.

Namun, perkara yang penting adalah adat berkenaan tidak sampai membebankan serta merumitkan kedua-kedua pihak. Selagi ia tidak bercanggah dengan ketetapan syarak, ia harus untuk diamalkan.

Ikatan pertunangan bukanlah lesen kepada pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan segala yang dihalalkan kepada pasangan suami isteri yang sah.

Malah, pertemuan kedua-duanya secara bebas boleh menyebabkan ikatan pertunangan tidak mendapat keberkatan Allah. Lebih teruk, ikatan pertunangan membawa kepada perkara yang dilarang Allah.

Dewasa ini ramai di kalangan muda mudi tidak mengambil berat perkara ini. Mereka menggunakan alasan ‘sudah bertunang’ sebagai tiket untuk melayani tuntutan nafsu yang gagal dibendung iman.

Berdua-duaan serta berpegangan tangan tanpa rasa segan silu adalah perkara yang diharamkan Islam. Sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (orang yang diharamkan nikah dengannya). Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan.”

Sesungguhnya, umat Islam dilarang sama sekali menghampiri perkara yang boleh menyebabkan perzinaan. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya ia (zina) itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32).

Syaitan sentiasa mencari peluang untuk menjadikan manusia sebagai temannya di neraka kelak. Dalam Islam, terdapat beberapa cara peminangan yang dikira menepati tuntutan Islam.

Pertama, seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang seorang wanita secara langsung. Kedua, seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali wanita berkenaan.

Ketiga, menggunakan pihak ketiga untuk meminang seseorang wanita. Keempat, wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki yang soleh dan kelima, seorang wanita menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Berdasarkan lima cara itu, ia tidak sekali-kali memberi maksud bahawa peminangan itu boleh dilakukan sesuka hati. Keizinan daripada kedua-dua orang tua tetap diperlukan kerana perkara inilah yang menjamin kelancaran proses perkahwinan, seterusnya mencurahkan keberkatan Allah dalam kehidupan.

Nasihat daripada ibu bapa selaku orang yang lebih tua harus dipandang berat. Ini kerana, sikap terburu-buru remaja dalam membuat keputusan, kurang pengalaman hidup serta cetek pengetahuan agama menyebabkan tujuan peminangan dan pertunangan itu tidak tercapai.

Beberapa situasi yang menjadikan peminangan termasuk dalam perkara yang haram adalah apabila wanita itu masih sah sebagai isteri orang, meminang wanita dalam talak raj’ie kerana bekas suami berhak kembali rujuk kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa i’dah mereka, jika mereka (suami-suami) bertujuan hendak berdamai.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Selain itu, haram apabila wanita itu sudah dipinang lelaki lain dan pinangan lelaki yang pertama itu diterima. Sekiranya lelaki kedua bernikah dengan wanita berkenaan, akad pernikahan adalah sah, namun dia tetap menanggung dosa atas perbuatannya meminang wanita yang dipinang orang lain.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang dipinang oleh saudaranya (saudara sesama Islam) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan pinangannya) atau dia mengizinkan peminangan itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketika majlis peminangan atau pertunangan, disunatkan berkhutbah atau memberi ucapan pada awal majlis. Khutbah perlu dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Semua perkara yang ada nilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Jika dilihat dari sudut adat pertunangan yang diamalkan pada hari ini, masing-masing mempamerkan cara yang tersendiri bagi memeriahkan majlis.

Rombongan pihak lelaki membawa beberapa dulang yang berisi pelbagai barangan untuk dihadiahkan kepada pihak perempuan, begitu juga sebaliknya.

Malah, suasana kini berlainan dengan majlis pertunangan orang dulu. Kini pihak perempuan mengadakan ‘pelamin’ khas serta pemasangan khemah untuk tetamu dan jemputan.

Berbanding dulu, semuanya diadakan dalam keadaan tertutup iaitu di dalam rumah pihak perempuan saja. Perlu diingatkan bahawa bersederhana dalam melakukan ibadah amat dituntut Islam.

Bagi golongan yang berkemampuan, elakkan pembaziran dalam majlis yang mereka adakan. Walaupun berada dalam kategori orang berkemampuan tetapi bersederhana adalah sangat dituntut.

Ia disandarkan kepada gesaan Rasulullah agar umat Islam tidak membazir dalam mengambil air sembahyang (wuduk), meskipun mempunyai bekalan air yang banyak.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Apatah lagi jika majlis yang diadakan secara besar-besaran dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan yang mereka miliki. Keadaan itu amat dicela Islam.

Sekiranya majlis itu dibuat secara besar-besaran untuk menjamu sanak-saudara dan jiran tetangga, maka ia adalah sifat yang terpuji.

Meskipun budaya masyarakat hari ini sudah berubah, tidak bermakna kita wajib mengikut rentak terkini. Majlis yang diadakan mengikut kemampuan sendiri serta jauh daripada sebarang bentuk pembaziran adalah lebih utama.

Justeru, lelaki dan perempuan yang bakal menjadi suami dan isteri perlu bijak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan majlis mereka diberkati Allah.

Comments