Surat Terbuka kepada rakyat Malaysia bukan Islam dan khususnya kepada yang Islam

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgsE0XOSko31jjNkHxSD1o8zyQ9rKucbjmnYZEMuz3BCgTWixHgVwNBjw2uUDNqcP5QrxfDHWAoXiyVmCPbdTzRHegHoZVKooCf1Zw4Usl5fjnqleoaPrSB3aiB0fkWG8i4rLxdMCH84jv2/s320/perpaduan.gif

Saudaraku yang dihormati sekalian,

Semoga sedikit nukilan hasil cedokan daripada sebuah buku yang ditulis oleh sarjana Islam tempatan ini dapat memberikan gambaran asas kepada tuan puan mengenai apakah sebenarnya hukum hudud dan apakah pula jenis jenayah yang akan dikenakan hudud.

Perlu dijelaskan bahawa, hudud bukan hanya berkisarkan mengenai potong tangan, potong kaki dan segala jenis potong yang dimomokkan oleh media perdana dari dulu hingga saat ini. Hukum hudud sangat khusus dan halus perkiraannya. Justeru saya dengan rendah diri menitipkan tulisan ini kepada tuan puan.

Satu penjelasan yang baik dan mudah difahami ditulis oleh Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail (pensyarah kanan Jabatan Fiqh & Usul, UM. Isteri kepada Prof Dr Datuk Paduka Hj Mahmod Zuhdi Abdul Majid) dalam buku yang bertajuk HUDUD: HUKUM DAN PELAKSANAANNYA. Antara lain beliau menerangkan, hudud perlu difahami dengan:

1. Hanya dilaksanakan apabila melibatkan pencerobohan terhadap lima asas darurat iaitu apabila ada pencerobohan terhadap:

Kesucian agama Islam
Kesejahteraan akal
Maruah
Keturunan
Keselamatan harta benda
Negara dan berkaitan.

Hanya kesalahan dalam isu-isu yang berkaitan diatas sahaja akan dikenakan hudud dan dikenali sebagai ‘jenayah hudud’!

2. Menurut Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Tasyri’ al-Jinai al-Islami, jilid 2, ms 345:

“Hanya jenayah tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai ‘jenayah hudud’. Ia tidak akan berubah mengikut peredaran masa kerana telah ditentukan sendiri oleh syariat Islam, iaitu melalui al-Quran dan sunnah.”

Menurut jumhur ulama fiqh (sarjana hukum-hukum/ undang-undang Islam), kesalahan-kesalahan jenayah yang dikategorikan sebagai ‘jenayah hudud’ adalah:

Murtad.
Minum arak.
Mencuri.
Merompak.
Berzina.
Menuduh zina.
Memberontak.

Mengikut kategori di atas saya tidak faham mengapa Karpal Sigh (termasuk bukan Islam lain yang tidak faham) takut sangat dengan hudud yang dikhususnya untuk orang Islam!? Lebih saya tidak faham, bagaimana mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang dan melakukan semua amalan agama yang lain malah mati juga ditanam dalam kubur orang Islam tidak boleh menerimanya!

Benarlah kata-kata hukama (ahli hikmah): An-Nas a’ada ala ma jahilu. Maksudnya: Manusia akan bermusuhan dengan apa yang dia tidak tahu (faham)!

Semoga mendapat sedikit pencerahan dan tidak takut kepada hukum hudud melainkan anda juga termasuk daripada kalangan mereka yang sudah melakukan dosa-dosa (jenayah) di atas (khusus kepada orang Islam)!

Saya tidak pelik jika hanya mereka yang bukan Islam (sebahagiannya sudah mula menerima undang-undang hudud khususnya para ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS yang lantang membela hudud), tapi amat sedih dan kecewa masih ada orang Melayu Islam yang tidak mahu menerimanya sebagai hukum-hakam daripada Allah yang tuntas boleh menyelesaikan masalah kebejatan sosial.

Dalam masa yang sama, beberapa kali Tuan Guru Nik Aziz jelaskan bahawa undang-undang hudud yang sedang beliau dan PAS perjuangkan adalah untuk orang Islam dan di Kelantan sahaja. Tidak ada isu mengapa orang bukan Islam perlu takut dan resah mengenainya.

Tulisan ini sudah beberapa kali saya poskan dalam FB dan pada artikel dan laporan mengenai hudud antaranya dalam Malaysiakini.Com sendiri. Saya sendiri terkejut dan terharu apabila ada sahabat-sahabat bukan Islam memberikan respon yang sangat positif. Antaranya adalah:

Sdr Liam Lee berkata, “Saudara Zahiruddin, terima kasih kerana memberi penjelasan tentang hukum hudud. Selepas membaca penjelasan saudara, pada pendapat saya tiada apa yang perlu ditakuti tentang hukum hudud. Ia seperti ajaran kebanyakan agama supaya pengikutnya tidak patut berbuat dosa. Saya tak pasti kenapa sesetengah orang menentangnya, mungkin ada sebab sebab lain yang bukannya sekadar fikiran rasional/permukaan. Salah satu sebab yang saya dapat fikirkan ialah ianya mungkin akan contradict dengan undang undang yang sedia ada. e.g. apakah hukuman jika seseorang merompak bagi hudud, apa pula hukuman pada undang undang sekarang? Karpal Singh adalah seorang peguam, mungkin ini adalah prinsipal seorang peguam. Seperti seorang doktor tidak akan menggalakkan kita makan ubat traditional walaupun dia seorang cina.” (Rujuk: http://www.malaysiakini.com/)

Saya yakin dan percaya bahawa generasi pasca piliharaya 2008 (PRU-12) yang lalu adalah generasi yang sangat idealis dan kritikal serta sentiasa mencari kebenaran yang sebenar dan bukannya kebenaran yang dihidanglan dalam media-media perdana pro kepada kepentingan sesetengah pihak sahaja

Saya juga berharap dengan sedikit cetusan dan perkongsian ini, saudara sekalian akan lebih terdorong bagi memahami apakah itu hudud dan apakah hikmah dan kebaikan di sebalik pelaksanaannya.

Sekian, salam hormat.

Yang ikhlas,

ZAHIRUDDIN ZABIDI

http://kalamkhalifah.com/

__________________

Rujukan:

Paizah Hj Ismail, Prod Madya Datin Dr. (2008). Hudud; Hukum & Pelaksaan. Shah Alam: Karya Bestari Sdn Bhd.

Comments