Temubual Khas Bersama Mohamed Shawky, Penyerang Pasukan Kelantan




Pengalaman ketika bermain di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab Middlesbrough antara 2007 hingga 2010 menjadi antara sebab utama mengapa pengurusan The Red Warriors (TRW) menagih sentuhan pemain berasal dari Mesir ini.

Mohamed Shawky atau nama sebenarnya Mohamed Ali Abu El Yazid Shawky, 32, adalah tonggak utama ketika membantu negaranya menjuarai Piala Negara-Negara Afrika 2008. Ikuti perbualan bersama Shawky.

Soalan (S): Ini pertama kali anda bermain di rantau ini, jadi apa pandangan anda mengenai mutu bola sepak di Asia Tenggara?

Jawapan (J): Pada saya mutu permainan orang Asia semakin meningkat berbanding 10 tahun lalu. Sudah ramai pemain Asia yang kini bermain untuk kelab Eropah misalnya seperti pemain Korea Selatan Park Ji-Sung, pemain Jepun Shinji Kagawa dan pemain Iran Ali Daei. Ini menunjukkan mutu permainan antara Eropah dan Asia semakin dekat. Begitu juga de­ngan rantau ini, kebanyakan negara sudah mula ada liga profesional di negara masing-masing dan ia sesuatu yang amat baik demi membangunkan bola sepak di rantau ini.

S: Apa pula pendapat anda mengenai Liga Malaysia (Liga-M)?

J: Ini kali pertama saya datang ke sini. Sebelum ini saya tidak tahu langsung mengenai perkembangan liga bola sepak di sini dan juga mengenai negara ini. Selepas saya mendapat penerangan dari Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa, baru saya tahu mengenai pasukan Kelantan dan serba sedikit mengenai sistem yang diamalkan. Saya rasa sistem liga di negara ini lebih baik daripada negara saya (Mesir).

S: Anda ke sini bersama keluarga atau seorang?

J: Buat ketika ini hanya saya seorang saja di sini. Keluarga saya berada di Mesir, mungkin dalam masa terdekat ini mereka akan datang dan ting­gal bersama saya. Banyak perkara yang harus saya selesaikan dulu.

S: Adakah anda merindui keluarga di Mesir?

J: Sudah semestinya saya merindui mereka. Mereka segala-galanya bagi saya. Paling saya rindu ialah anak-anak. Sudah tiga bulan saya tidak berjumpa mereka. Insya-Allah, dalam masa terdekat mereka akan datang ke sini.

S: Boleh kongsi sedikit mengenai anak-anak anda?

J: Saya ada dua anak lelaki. Anak pertama Al-Habib Muhammad berumur empat tahun serta Al-Hassan Muhammad, dua tahun. Kemungkinan mereka akan bersekolah di sini nanti dan tinggal bersama saya.

S: Sepanjang anda di Kota Bharu, makanan apa yang paling anda suka?

J: Baru-baru ini saya ada mencuba makanan tradisi masyarakat Kelantan, kalau tidak silap namanya nasi kerabu dan juga tomyam. Sungguh sedap dan saya amat menyukainya.

S: Bagaimana pula dengan penyokong Kelantan?

J: Ke mana saja kami pergi, penyokong Kelantan pasti ada. Mereka sungguh bersemangat dan begitu sayangkan pasukan mereka. Dengan semangat itu membuatkan kami lebih berkobar-kobar untuk mencari kemenangan sebagai hadiah kepada penyokong.

S: Harapan anda bersama Kelantan musim ini?

J: Setiap pemain mahukan kejuaraan, begitu juga dengan saya. Saya rasa bertuah menjadi sebahagian daripada pasukan yang hebat ini. Saya yakin kami akan meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

http://www.hmetro.com.my/

Comments