Soalan: Bersugi itu sunat, tapi kenapa ketika berpuasa perkara sunat seperti itu tidak boleh kita buat. Bagaimana dengan mereka yang mulutnya berbau, tidakkah ini mengganggu orang lain ketika solat jemaah ataupun di pejabat?
Jawapan:
1. Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku ataupun manusia nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
2. Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
4. Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut.
5. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
6. Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا صُمْتُمْ فَاسْتَاكُوا بِالْغَدَاةِ وَلَا تَسْتَاكُوا بِالْعَشِيِّ فَإِنَّ الصَّائِمَ إِذَا يَبِسَتْ شَفَتَاهُ كَانَ لَهُ نُورٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang kerana orang yang berpuasa itu apabila kering kedua bibirnya itu merupakan cahaya untuknya pada Hari Kiamat”. (Riwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani, al-Daraqutni dan al-Baihaqi)
Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Pada sanadnya ada Kaisan Abu ‘Umar, dia seorang yang daif.
7. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat al-Bukhari secara ta’liq, Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dll).
8. Dalam riwayat al-Tabarani dengan sanad yang hasan, Mu’az bin Jabal r.a pernah ditanya tentang bersugi semasa berpuasa:
عنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ غَنْمٍ، قَالَ: سَأَلْتُ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ أَتَسَوَّكُ وَأَنَا صَائِمٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، قُلْتُ: أَيُّ النَّهَارِ؟ قَالَ: أَيَّ النَّهَارِ شِئْتَ، إِنْ شِئْتَ غُدْوَةً، وَإِنْ شِئْتَ عَشِيَّةً، قُلْتُ: فَإِنَّ نَاسًا يَكْرَهُونَهُ عَشِيَّةً، قَالَ: وَلِمَ؟ قُلْتُ: يَقُولُونَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنَ الْمِسْكِ» فَقَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ لَقَدْ أَمَرَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالسِّوَاكِ، حِينَ أَمَرَهُمْ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لَابُدَّ أَنْ يَكُونَ بِفِي الصِّيَامِ خُلُوفٌ، وَإِنِ اسْتَاكَ، وَمَا كَانَ بِالَّذِي يَأْمُرُهُمْ أَنْ يُنْتِنُوا أَفْوَاهَهُمْ عَمْدًا، مَا فِي ذَلِكَ مِنَ الْخَيْرِ شَيْءٌ، بَلْ فِيهِ شَرٌّ إِلَّا مَنِ ابْتُلِيَ بِبَلَاءٍ لَا يَجِدُ مَنهُ بُدًا قُلْتُ: وَالْغُبَارُ فِي سَبِيلِ اللهِ أَيْضًا كَذَلِكَ؟ إِنَّمَا يُؤْجَرُ فِيهِ مَنِ اضْطُرَّ إِلَيْهِ وَلَمْ يَجِدْ عَنْهُ مَحِيصًا؟ قَالَ: «نَعَمْ، وَأَمَّا مَنْ أَلْقَى نَفْسَهُ فِي الْبَلَاءِ عَمْدًا فَمَا لَهُ مَنْ ذَلِكَ مِنْ أَجْرٍ
Daripada Abd al-Rahman bin Ghanam, berkata: Aku bertanya Mu’az bin Jabal: “Apakah boleh saya bersugi sedangkan saya berpuasa?”. Jawab beliau: “Ya”. Aku berkata: “Pada waktu siang masa bila?”. Jawabnya: “Pada masa mana saja yang engkau mahu, pagi ataupun petang”. Aku berkata: “Orangramai membenci bersugi pada waktu petang”. Tanya Mu’az: “Kenapa?”. Aku menjawab: “Mereka berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi”. Kata Mu’az: “Subhanallah! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memerintahkan mereka supaya bersugi. Ketika baginda memerintah mereka, baginda tahu bahawa sudah pasti mulut orang berpuasa akan berbau sekalipun bersugi. Tidaklah baginda orang memerintahkan agar mereka membusukkan mulut mereka secara sengaja. Tiada kebaikan sedikit pun untuk mereka dalam perkara tersebut. Bahkan padanya keburukan kecuali mereka yang diuji dan tidak dapat dielakkan”. Aku berkata: “Tidakkah demikian juga dengan (kelebihan) debu pada jalan Allah?! Hanya diberikan pahala kerana debu itu bagi sesiapa yang tidak dapat elakkan?”. Kata Mu’az: “Ya, adapun sesiapa yang sengaja mencampakkan dirinya dalam bala (mulut busuk ataupun debu) maka dia tidak mendapat pahala”
9. Maka galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih merupakan asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
10. Adapun dakwaan bahawa ubat gigi yang ada sekarang tidak boleh digunakan kerana ada rasa tertentu, ini tidak kukuh kerana kayu sugi zaman dahulu juga ada rasa yang tersendiri. Selagi mana ia tidak masuk ke dalam perut dengan sengaja maka ia tidak membatalkan puasa.
11. Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Suka
Comments
Post a Comment