Daripada Abu Hurairah r.a., beliau meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bersabda: “Kotor hidung seseorang dengan berlumuran tanah (maksudnya menjadi hina), kemudian menjadi hina pula, dan kemudian menjadi hina pula (hina di atas kehinaan) bagi seseorang yang sempat menemui seorang daripada kedua ibu bapanya atau kedua-duanya ketika mereka sudah tua lalu ia tidak dapat berbuat bakti kepada mereka yang akan melayakkannya menjadi penghuni syurga.” (Riwayat Muslim)
Keterangan
Berbakti kepada ibu bapa adalah di antara perkara yang sangat dituntut di dalam agama. Allah SWT meletakkannya di tempat kedua setelah kita beribadah kepadanya, seperti firman-Nya:
“Dan Allah telah memberikan keputusan supaya kamu jangan menyembah kecuali hanya kepadanya dan hendaklah kamu berbuat bakti kepada dua ibu bapa.”
(Al-Israk 17: 23)
Oleh kerana itu, bakti kepada dua ibu bapa sudah menjadi suatu perkara yang sangat lumrah dalam masyarakat Islam, dan telah difahami oleh semua lapisan masyarakat Islam dan lapisan masyarakat yang masih belum kehilangan nilai kemanusian yang murni.
Kita semua sedia maklum bahawa, ibu bapa telah banyak bersusah payah dalam memelihara anak. Rasanya tidak dapat dihitung berapa banyak kesusahan yang telah mereka korbankan dalam memelihara anak, di samping wang yang telah dibelanjakan untuk keperluan anak-anak mereka.
Maka adalah sangat wajar seorang anak mengenang jasa baik orang tuanya, inikan lagi di saat mereka berada di dalam usia yang sangat tua, yang lemah segala-galanya, dan sangat mengharapkan bantuan orang lain.
=================
Sumber: Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman/ Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al Banjari An Nadwi Al Maliki
Comments
Post a Comment