Rakyat Kelantan beratur 70 meter beli kopi Starbucks

ADILA SHARINNI WAHID


20 DISEMBER 2018

KOTA BHARU - Starbucks Kota Bharu hari ini menerima tumpuan luar biasa daripada rakyat Kelantan yang sanggup beratur sepanjang kira-kira 70 meter bagi mendapatkan air minuman Frappuccino berharga 20 sen bagi pembelian kedua yang ditawarkan di kafe itu.


Tinjauan Sinar Harian mendapati penggemar kopi tersebut menunggu seawal jam 4 petang dan mula beratur pada jam 4.50 petang bagi mendapatkan minuman ais kisar pelbagai perisa itu.


Berikutan tawaran yang bermula jam 5 hingga 8 malam itu, barisan pelanggan yang beratur secara tiba-tiba menjadi semakin panjang hingga melimpah ke luar pintu kafe yang terletak di aras bawah pasar raya Tesco, Lembah Sireh, di sini.
Seorang pelanggan Nur Danisha Zulfauzee, 18, berkata, dia melihat promosi iklan air minuman Frappucino hanya 20 sen untuk pembelian kedua minuman sama tersebut di laman Twitter.



“Jadi saya tidak lepaskan peluang bersama enam lari rakan sekuliah menunggu bermula jam 4 petang dan walaupun datang awal sejam, barisan kami tetap terkebelakang berikut diserbu orang ramai.


“Saya difahamkan promosi ini diadakan pada tarikh 20 haribulan dengan harga 20 sen bagi minuman kedua adalah untuk Starbucks meraikan penggemarnya sempena ulangtahun ke-20 tahun mereka di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Seorang lagi pelanggan juga pelajar kolej berhampiran, Ain Nadirah Mohd Ridzun, 18, berkata, dia beratur panjang untuk mendapatkan minuman itu, namun tidak menunggu terlalu lama untuk sampai ke kaunter pembelian.
“Barista di Starbucks ini semua mesra dan cekap membantu dengan mengambil pesanan dengan pantas serta melayan kami dengan baik menyebabkan kami tidak perlu beratur lama walaupun barisan panjang.


“Beratur panjang, tetapi tetap lancar,” katanya.

Comments