Apa yang Rasulullah ‎ﷺ ‏Ajar Tentang Diam?

May 15, 2020
Mendengar & Melaksanakan Apa yang Baik itu Lebih Utama

Lazimnya, orang yang terlalu banyak berbicara (berkata-kata) adalah orang yang lemah keperibadiannya. Ciri-ciri orang cerdik menurut Islam yang disebutkan al Quran adalah orang yang mendengarkan perkataan orang lain dan melaksanakan apa yang terbaik daripada perkataan itu (al-Zumar:18):
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ


Orang pandai yang suka mengambil perhatian yakni mendengar dengan baik apa yang dikatakan oleh orang lain akan disukai. Sebahagian manusia lebih gemar untuk perkataannya didengar, diambil peduli daripada dia mendengar bicara orang lain. Ada orang yang mempunyai kebiasaan berbicara dahulu, baru berfikir. Kerana itu, diam menunjukkan kekuatan keperibadian seseorang. Kemampuan mendengar adalah kekuatan keperibadian yang luar biasa besarnya. Kata Jaafar al-Sadiq ra:
لِسَانُ الْعَاقِلِ وَرَاءَ قَلْبِهِ، وَقَلْبُ الْأَحْمَقِ وَرَاءَ لِسَانِهِ
“Lisan orang yang berakal itu ada di belakang hatinya, dan hati orang bodoh itu ada di belakang lisannya.”

Orang yang berakal selalu mempertimbangkan terlebih dahulu apa yang akan dilontarkan dalam bicaranya, sedang orang yang bodoh sering memperkatakan apa sahaja yang terlintas di dalam hatinya tanpa memikirkan akibat yang mungkin timbul daripada ucapannya itu. Sebaiknya kita harus benar-benar yakin bahawa apa yang akan disampaikan adalah sesuatu yang sudah difikirkan. Kurangilah perkataan-perkataan yang muncul secara refleks. Biasakanlah diam atau merenung, maka kita akan menjadi produktif dalam hidup. Diam bukan dalam erti kita sama sekali tidak berbicara, melainkan diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluan untuk itu. Ada mekanisme lain juga yang telah ditunjukkan di dalam al Quran :
وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْنًا

“Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (al-Baqarah:83)
فَارْزُقُوهُم مِّنْهُ وَقُولُواْ لَهُمْ قَوْلاً مَّعْرُوفًا

“Berilah mereka dari harta itu (kepada anak-anak yatim) dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (al-Nisa':8)

فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُواْ قَوْلاً سَدِيدًا
“Oleh itu hendaklah bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (al-Nisa':9)
أُوْلَئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِي أَنفُسِهِمْ قَوْلاً بَلِيغًا
“Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang membekas dalam jiwanya.” (al-Nisa':63)
وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا

“Dan katakanlah kepada mereka (kedua ibu bapa) perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (al-Israk:23)
فَقُل لَّهُمْ قَوْلاً مَّيْسُورًا

“Maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.” (al-Israk:28)
وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ كَانَ لِلإِنْسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا

“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku; Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (al-Israk:53)
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman:19)

Al-Quran menunjukkan kepada kita tentang pilihan dalam berbicara, qaulan makrufan, qaulan kariman, qaulan maysuran, qaulan sadidan dan qaulan balighan, yakni pembicaraan yang disertakan perkataan-perkataan yang baik, tepat dan membekas dalam jiwa. Justeru, mekanisme mana lagi yang lebih baik dibandingkan dengan anjuran menguruskan sebarang perbicaraan sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran?

Comments