Final Piala FA 2013, Pemain Kelantan Sedia Hadapi

June 28, 2013




KAPTEN pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mahu rakan sepasukannya merantai pergerakan dua tonggak utama Johor Darul Takzim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha dan Leonel Nunez pada perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menurut Badhri yang dikenali sebagai Piya, dua pemain tersebut jika tidak dikekang dilihat mampu mengundang bahaya buat pasukan The Red Warriors (TRW) sekiranya diberi terlalu banyak ruang bergerak.

“Mat Yo (Norshahrul) dan Nunez memiliki kelebihan segala-galanya sebagai penyerang sejati. Disebabkan itu, saya katakan mereka adalah pemain yang perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Kelantan pada perlawanan akhir nanti.

“Namun, kami tidak perlu gentar dengan Mat Yo dan Nunez kerana kami memiliki resipi untuk merantai pergerakan mereka.

“Apa yang penting, kami tidak akan membiarkan kedua-duanya bergerak bebas dan memegang bola kerana mereka cukup berbahaya,”katanya ketika ditemui di Auditorium Kumpulan Media Karangkaf, hari ini.

Pada masa sama, Piya turut berharap agar rakan sepasukannya memerah keringat lebih daripada 100 peratus pada perlawanan itu sekiranya berhajat mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.

“Kita semua tahu JDT adalah pasukan yang kuat, pemain mereka juga lebih baik daripada kita. Mereka memiliki Mat Yo, Awe (Azwan Roya), Safee Sali, boleh dikatakan mereka adalah pasukan terbaik Malaysia.

“Jadi saya harap semua pemain bersedia dan berjuang sampai ke akhir perlawanan dan yang paling penting tidak melakukan kesilapan yang mampu memberikan kelebihan kepada JDT seperti sepakan percuma berhampiran kotak penalti.

“Ini kerana, kita semua tahu JDT mempunyai kekuatan melalui Safiq Rahim untuk menyudahkan sepakan sebegitu,” ujarnya yang akan berusaha untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

Piya juga berharap penyokong TRW akan membanjiri Stadium Nasional bagi meniup semangat pasukan dan berharap mereka juga menjaga tingkah laku masing-masing bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Comments