KUALA LUMPUR: Amalan berkabung bagi menghormati kematian seseorang adalah harus dan tidak bercanggah dalam Islam, kata Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.
Bagaimanapun, katanya amalan itu tidak boleh dilakukan secara berlebihan dengan penganjuran upacara tertentu yang dilarang oleh Islam.
"Dalam Islam, seseorang isteri yang kematian suami disunatkan untuk berkabung selama tiga hari sahaja untuk menunjukkan kesedihan dan kesetiaan terhadap suaminya. Namun, kesedihan itu tidak boleh berlebihan seperti terlalu meratap," katanya.
Beliau berkata mengikut Islam, amalan mengibarkan bendera separuh tiang berikutan kematian mangsa seperti tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 adalah harus selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Dr Mahmood Zuhdi diminta mengulas mengenai pengisytiharan Jumaat depan sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah 15 warga Malaysia dan seorang jenazah bukan warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 itu di Ukraine bulan lepas.
Istiadat penghormatan ketibaan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Penerbangan MH17 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai setelah ditembak jatuh.
Namun, sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Dr Mahmood Zuhdi berkata hari berkabung yang diisytiharkan itu menunjukkan seluruh rakyat Malaysia bersedih di atas kematian mangsa MH17.
Beliau turut mencadangkan supaya semua aktiviti hiburan termasuk operasi di pusat hiburan dan panggung wayang dihentikan sementara sebagai tanda berkabung.
"Keadaan ini adalah sama dengan situasi yang dihadapi oleh seorang isteri yang tidak dibenarkan berpakaian cantik, berpeleseran dan berhibur selama berkabung atas kematian suami," katanya.
Beliau mencadangkan penutupan sementara itu dibuat selama tiga hari selari dengan saranan Islam.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata pengisytiharan Jumaat depan sebagai hari berkabung dilakukan untuk mengajak seluruh rakyat di negara ini supaya bersimpati dengan keluarga mangsa tragedi MH17.
"Kalau berkabung yang hanya sebagai menunjukkan rasa simpati dan sedih serta tidak melanggar hukum syarak Islam, itu tidak menjadi masalah," katanya.
Beliau meminta rasa kesedihan terhadap mangsa MH17 yang beragama Islam dizahirkan melalui doa dengan meminta roh mangsa ditempatkan bersama golongan beriman.
Comments
Post a Comment