Saya bukanlah seorang ustaz hendak bercerita mengenai keadilan hukum Allah sebaliknya hanya seorang manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran untuk memikir secara logik dan melihat dari sudut yang berlainan. Pemikiran logik sudah semestinya akan selaras dengan hukum Allah. Jadi saya termenung dan memikirkan bagaimanakah keadilan dalam hukum Hudud ini sebenarnya berlaku?
#1 Pertama, hukum Hudud ini hanya dikenakan kepada umat Islam dan bukan umat Islam. Jadi mana logiknya dan adilnya?
Pemikiran singkat akan melihat orang bukan Islam senang-senang buat kesalahan dan tidak dikenakan hukuman. Cuba lihat dari sudut yang berlainan. Kita bertandang ke rumah orang yang sedang minum arak kemudian dia menceritakan tentang perkara-perkara kebaikan yang harus dilakukan. Kemudian dihadangkan pula dengan makanan. Adakah kita akan memakan makanan tersebut? Adakah kita akan mendengar nasihat dia?
Samalah konsep yang diterapkan dalam hukum Hudud. Sebelum hukuman dijatuhkan kepada orang lain, agama Islam mahu memperbetulkan umatnya terlebih dahulu. Bagaimana kita mahu menghukum orang lain sedangkan kita sendiri banyak membuat kesalahan. Apabila umat Islam kembali mengamalkan perkara yang menjurus kepada kebaikan, secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada orang lain. Di situlah keadilan yang pertama.
#2 Kedua, pelaksanaan hukum Hudud hanya boleh dilakukan apabila mendapat saksi yang tidak pernah menipu, meninggalkan solat, amanah dan tidak fasik.
Dalam zaman sekarang mana hendak cari manusia sebegini. Mungkin ada seorang atau dua orang, tapi kalu hukuman berzina perlukan 4 orang dan 4 orang itu menyaksikan perbuatan tersebut dibuat? Maka dengan mudah terlepaslah orang yang mungkin bersalah.
Secara logiknya, hukum Hudud mengajar kita untuk mencari kebenaran yang sebenar. Berbeza dengan sistem kehakiman yang sedia ada. Jika anda berjaya mengupah peguam yang hebat berbicara dan memutar belit fakta dan kebenaran, mana keadilan berbanding Hudud? Secara tidak langsung kita telah merasuah "keadilan" agar terlepas dari hukuman.
#3 Ketiga, mengapa hukuman Hudud dilihat sangat kejam dan berat seperti "rejam sampai mati", "sebat 100 kali"?
Bukankah Islam itu agama yang tenang dan penuh dengan kelembutan? Hal ini mudah sahaja untuk dijawab. Hudud dilaksanakan kepada pembunuh, pencuri, penzina dan perogol. Jika kita lihat kepada prinsip Pareto 80/20 iaitu 80% kesan dan akibat datangnya daripada 20% tindakan. Bermakna hukum Hudud hanya dilaksanakan kepada 20% kesalahan berat yang akhirnya akan memberi kesan kepada 80% kebaikan yang bakal diperolehi.
Cuba kita lihat kepada sistem dan undang-undang sivil yang sedia ada dan terpakai. Setiap satu kesalahan dinyatakan dengan jelas dari sekecil-kecil kesalahan sehingga sebesar-besar kesalahan siap dengan hukumannya. Tetapi berapa banyak/peratus pengurangan indeks jenayah yang kita dapat. Hakikatnya prinsip Pareto terhadap undang-undang sivil menjadi terbalik iaitu 80% hukuman hanya memberi 20% kesan kebaikan.
Kesimpulan
Islam dan pemikiran logik akal sememangnya tidak akan bercanggah. Lihat prinsip yang dicipta pada zaman dahulu, bukanlah ianya sudah ditulis dan termaktub dalam hukum Allah. Terpulang kepada kita untuk mencari di mana keadilan sekiranya kita mahu ianya ADIL.
Comments
Post a Comment