Sidang Media Khas Mengenai Kabinet
June 27, 2016
1. Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan berikut:
Menteri Persekutuan:
(i) YB Tan Sri Noh bin Omar
(ii) YB Datuk Johari bin Abdul Ghani
Timbalan Menteri Persekutuan:
(i) YB Dato’ Othman bin Aziz
(ii) YB Datuk Datu Nasrun bin Datu Mansur
(iii) YB Dato’ Henry Sum Agong
(iv) YB Senator Dato’ Sri Devamany a/l S. Krishnasamy
2. Rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan.
3. Ini berikutan perletakan jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Douglas Uggah Embas yang telah bertanding di Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
4. Tan Sri Wahid Omar juga telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai Senator yang tamat pada bulan ini dan seterusnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
5. Selain itu, terdapat juga kekosongan jawatan Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi setelah pemergian Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas udara bulan lepas.
6. Saya juga telah menerima keputusan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah untuk menamatkan perkhidmatan atas sebab peribadi. Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh beliau selama ini.
7. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk membuat penyusunan semula beberapa portfolio Menteri Kabinet, perlantikan semula seorang bekas Menteri dan beberapa Timbalan Menteri untuk memantapkan lagi pentadbiran sedia ada.
8. Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat – pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan – terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dijanjikan.
9. Saya juga ingin memaklumkan akan ada penyusunan semula tugas Menteri-Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
10. Dengan ini saya ingin memaklumkan, mengumumkan penyusunan semula jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di dalam kabinet adalah seperti berikut; Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Menterinya YB Datuk Seri Mah Siew Keong. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diberi tugas mengawal selia Unit Perancang Ekonomi negara, YB Datuk Abdul Rahman Dahlan. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tan Sri Noh bin Omar, Menteri Kewangan Kedua, YB Datuk Johari Abdul Ghani.
11. Jawatan-jawatan Timbalan Menteri adalah seperti berikut; Kementerian Kewangan, YB Dato’ Othman Aziz, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Datu Nasrun Datu Mansor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato’ Henry Sum Agong, Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dato’ Sri Devamany a/l S. Krishnasamy, Kementerian Kewangan, YB Dato’ Lee Chee Leong, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Chua Tee Yong
27 Jun 2016
Comments
Post a Comment