Adakah Roh Orang Yang Mati Boleh Kembali Ke Dunia?

July 10, 2014


Blog Fatwa Malaysia

ISU:

Adakah roh orang yang mati boleh kembali ke dunia?

PENJELASAN:

Persoalan roh merupakan persoalan yang rumit kerana ia adalah dimensi yang berada di luar tanggapan pancaindera manusia. Fitrah kejadian ruh bukanlah dari alam nyata (syahadah) akan tetapi dari alam ruhaniah yang ghaib.

Rasulullah s.a.w. sendiri apabila ditanya oleh orang Yahudi tentang hakikat ruh menghadapi kesukaran untuk menjawabnya sehingga turun ayat al-Qur’an dalam Surah Isra’, ayat 85, yang mengatakan: “dan mereka bertanyakan tentang roh. Katakan, ’roh itu dari urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Oleh yang demikian, segala hal berkaitan dengan ruh mesti merujuk kepada sumber sam’iyyat sama ada dari al-Qur’an atau hadis-hadis Nabi. Menurut al-Qur’an, Allah swt menjadikan manusia dengan mempunyai dua unsur utama, jasad dan ruh. Jasad dicipta dari unsur tanah sementara ruh merupakan sesuatu yang dtiupkan dari Allah ke dalam jasad seperti yang disebut dalam al-Qur’an, Surah al-al-Hijr, ayat 28-29: “dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila aku menyempurnakan kejadiannya Aku meniupkan kedalamnya ruh (ciptaan)Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud".

Ruh dan jasad berhubung antara satu dengan yang lain. Menurut Imam al-Ghazali, hubungan antara keduanya adalah dalam ertikata ruh merupakan raja kepada jasad. (al-Ghazali Kitab ‘Aja’ib al-Qalb dalam Ihya Ulum al-Din). Kesatuan antara ruh dan jasad adalah satu hubungan yang ajaib kerana kedua-duanya mempunyai fitrah yang berbeza, ruhani dan jasmani. Ini adalah antara bukti kekuasaan Allah. Ketika kematian, ruh akan meninggalkan jasad dan berpindah ke alam barzakh yang bermaksud ‘benteng pemisah’, kediaman perantaraan antara dunia dan akhirat.

Al-Qur’an menyebut tentang alam barzakh: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” (Surah al-Mukminun: 100) Ruh ditempatkan di sini sebelum dibangkitkan di hari kiamat untuk dicantumkan semula dengan jasad dan akan dihisab dan diberi pembalasan sama ada di syurga atau neraka.

Persoalannya adakah ruh yang telah meninggal dunia mampu balik ke alam dunia? Ruh yang telah meninggal dunia tidak boleh kembali ke dunia. Ini kerana urusan seseorang manusia ketika ia telah meninggal dunia telah selesai dan peringkat yang seterusnya ialah peringkat kehidupan dikubur dan penantian hari kiamat untuk dihisab oleh Allah swt. Al-Qur’an juga menggambarkan bahawa ruh tidak boleh kembali ke dunia seperti yang digambarkan dalam Surah al-Mukminun, ayat 99 dan 100 yang bermaksud: “Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan”

Ibn al-Qayyim dalam Kitab al-Ruh, mengatakan pandangan Abu Umar bin Abd Barr yang mengatakan bahawa sebelum Hari Kiamat sebahagian ruh seperti para syuhada berada dalam syurga sementara ruh orang mukmin umumnya berada di dalam kubur mereka. Ini antara lain berdasarkan ayat al-Qur’an yang mengatakan bahawa orang-orang yang syahid itu tidak mati akan tetapi hidup di sisi Allah. (Ali Imran :169)
Namun ada ulama berpandangan bahawa ruh yang telah meninggal dunia dapat bertemu dengan ruh orang yang masih hidup iaitu di dalam mimpi. Ini berdasarkan ayat al-Qur’an yang mengatakan bahawa: Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan memegang jiwa orang yang belum mati diwaktu tidurnya. Maka Dia tahan jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan (al-Zumar:ayat 42) Ayat ini menunjukkan bahawa ruh orang yang mati dan yang tidur kedua-duanya dipegang oleh Allah. Cuma ruh orang yang tidur dikembalikan sementara orang yang meninggal dunia ditahan terus. Atas dasar ini kedua-dua ruh ini boleh bertemu. Ibn al-Qayyim menukilkan banyak kisah-kisah di kalangan orang yang baik yang bermimpi bertemu dengan orang-orang yang telah meninggal dunia. Menurut beliau walaupun ada sebahagian mimpi yang tidak benar yang datang dari gangguan syaitan, namun sebahagian mimpi adalah merupakan ilham dari Allah terutama yang berlaku kepada mereka yang baik. (Ibn al-Qayyim, Kitab al-Ruh)

Berdasarkan penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa pada asasnya ruh orang yang meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Maka pandangan yang mengatakan misalnya roh orang yang mati masih berada atau melihat ahli keluarga selama tiga hari tiada asasnya. Pengecualian yang diberikan oleh sebahagian ulama ialah kemungkinan untuk mereka yang masih hidup bertemu dengan ruh yang telah mati dalam mimpi dengan izin Allah.


Wallahu a’lam.

Comments