-->

Neymar, Firmino hantar Mexico pulang

July 03, 2018

Neymar, Firmino hantar Mexico pulang

Jaringkan gol pada babak kedua untuk pastikan kemaraan Brazil ke suku akhir

MOSCOW - Juara lima kali, Brazil melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2018 FIFA dengan bergaya selepas menewaskan Mexico 2-0 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Samara Arena, Samara, Rusia malam ini.

Dua gol menerusi Neymar Jr dan Roberto Firmino menjamin kemaraan Brazil yang dalam misi memburu trofi keenam mereka dalam kempen ini sejak kali terakhir melakukannya pada 2002 di Korea Selatan/Jepun.

Kemenangan ini juga menyaksikan pasukan No. 2 dunia itu berpeluang menebus kekecewaan ketika menjadi tuan rumah empat tahun lalu di mana mereka terisngkir di separuh akhir selepas di belasah Jerman 1-7.

Ia juga memberi kelegaan kepada jurulatihnya, Tite yang berharap pasukannya dapat mengelak daripada mengalami nasib yang sama seperti Jerman, Argentina, Portugal dan Sepanyol yang gagal mara setelah tewas di peringkat kalah mati dan kumpulan.

Bagi Mexico pula, kekalahan ini pastinya amat mengecewakan selepas pasukan dari Amerika Tengah itu berjaya melakar kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan, Jerman di peringkat kumpulan sebelum mara ke pusingan ini.

Hajat untuk menjadikan Brazil sebagai mangsa seterusnya tidak kesampaian meskipun mereka berjaya memperolehi beberapa peluang keemasan menjaringkan gol, namun tuah tidak memihak kepada mereka kali ini.

Meskipun berjaya menyaingi Brazil pada babak pertama, Mexico terpaksa akur dengan kehebatan lawan dari Amerika Selatan itu yang mendahului 1-0 hasil jaringan Neymar pada minit ke-51 sebelum Firmino menambah gol kedua pada minit ke-88.

Pada edisi 2014 di Brazil, Mexico, pasukan No. 15 dunia turut tersingkir di pusingan kalah mati ini selepas tewas kepada Belanda 1-2.

Brazil dijadual berdepan pemenang di antara Belgium dan Jepun di suku akhir nanti apabila kedua-dua pasukan itu akan turun berentap pada awal pagi nanti. - K! ONLINE

Comments