KEMENTERIAN Pendidikan sedang mengkaji semula cadangan untuk membenarkan pelajar membawa alat peranti ke sekolah untuk tujuan pembelajaran.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian sedang menjalankan kajian terperinci sama ada akan meluluskan cadangan itu kerana beberapa faktor seperti keselamatan dan prasarana perlu juga diberi perhatian sebelum keputusan dibuat.
"Kami masih lagi menjalankan kajian kerana kita hendak lihat kepada isu keselamatan pertamanya dan isu prasarana yang cukup, sebab kita tidak mahu ada alat peranti tetapi 'software' (perisian) tidak lengkap atau pun jaringan internet yang lemah.
"Faktor-faktor ini akan menyebabkan sistem pembelajaran itu sendiri tidak mesra dengan teknologi yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pendidikan bersama pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti serta Pra-pelancaran Sambutan Jubli Emas Politeknik di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Timbalan Pengarah Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah.
Maszlee berkata, kriteria seperti keselamatan dan prasarana penting sebelum keputusan untuk membenarkan pelajar membawa alat peranti ke sekolah dibuat.
"Ia perlu berjalan seiring sebab kalau kita hanya tekankan konsep gajet sahaja, kontraktor yang akan untung tetapi pelajar tidak dapat apa-apa.
"Apa-apa kita hendak buat mesti bersikap holistik dan perlu berdasarkan kepada kelancaran pelajaran itu secara komprehensif," katanya.
Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian bercadang membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran.
Mahdzir berkata, penggunaan alat berkenaan bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan kementerian.
Sumber: Harian Metro
Comments
Post a Comment