Ramadhan datang lagi menjenguk umat Rasulullah s.a.w buat sekian kali.Kali ini datangnya seperti kehadiran Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.Sering disebutkan Ramadhan adalah bulan nikmat, Ramadhan juga bulan pengampunan.
Bagi yang menghayatinya, maka akan datangnya hikmahnya bulan pengampunan ini dengan nikmat iman dan ketaqwaan.
Ayat 183 Surah Al Baqarah bermaksud " Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".
Namun masih ada dikalangan kita sendiri tidak dapat menghayati kehadiran Ramadhan dengan mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri menjadi hamba yang memiliki jiwa kehambaan kepada Allah s.w.t.
Sidang pembaca sekalian, Ramadhan bukan sahaja datang dengan syiar kewajiban berpuasa malah amalan-amalan sunat seperti solat Tarawikh di malam pertama sebelum berpuasa pada esok harinya.
Dan Daripada Abdulrahman Bin Auf, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya " Sungguh Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan dan mensunnahkan solat di dalamnya, barang siapa yang berpuasa dan solat dimalannya kerana keluar dari dosanya ibarat pada hari ia dilahirkan oleh ibunya" (hadith riwayat Ahmad).
Disebabkan itulah kehadiran Ramadhan ini amalannya didahului dengan solat sunat Tarawikh yang mendahului amalan berpuasa.Sunat Tarawikh akan berjalan sebaik selepas Isya' malam sebelum umat Islam berpuasa pada esoknya.
Mengapa?Berbalik kepada hadith yang dibacakan sebentar tadi yang menkiaskan agar umat Islam memperbanyakkan amalan sunat yang terutamanya di malam hari.
Keutamaan mengerjakan solat Tarawikh, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda " Barang siapa berdiri (solat malam) di bulan Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan pahala dari Allah, makan akan diampunkan dosa-dosa sebelumnya " (hadith Riwayat Muslim).
Terkadang ada dikalangan umat Islam mutakhir ini hanya mengetahui bahawa kehadiran Ramadhan hanya besarnya kepada kewajiban berpuasa sahaja.
Lebih malang lagi, dicelah-celah kehangatan puasa itu, kita lalai dengan budaya berpuasa yang boleh disifatkan sebagai sekadar menahan lapar dan dahaga, sekadar mahu mencukupkan syarat agar mata manusia melihat kita ini berpuasa.
Malah lebih parah dari itu, kehadiran ramadhan bagi sesetengah pihak hanya untuk meraikan bulan 'makan-makan' kerana jika dilihat pada perkembangan hari ini, pelbagai iklan dan promosi bufet Ramadhan disiarkan.
Ada yang telah memikirkan mahu berbuka dihotel-hotel mewah, direstoran terpilih dan berbuka bersama rakan-rakan, dan ada yang telah membuat tempahan awal berbuka meskipun 1 Ramadhan belum tiba.
Malang sekali, budaya ini semakin menjadi 'kebiasaan' kepada masyarakat di negara ini dalam meraikan kehadiran Ramadhan, dan bukan menjadi suatu yang aneh jika berbuka dengan lauk pauk yang mewah, melimpah ruah.
Di sana sini kini mula bicara mengenai apa menu istimewa pada Ramadhan kali ini. Malah dipejabat-pejabat hari ini, isu makanan atau menu pada Ramadhan menjadi topik perbualan utama.
Impaknya, puasa sekadar menahan lapar dan dahaga, perut yang kempis sebelum puasa menjadi kembung dipertengahan dan dipenghujung bulan puasa.
Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri hanya meneguk air dan tiga biji buah Tamar (buah kurma) ketika berbuka, dan kemdiannya baginda meneruskan solat serta amalan sunat yang lain memenuhi malam-malam Ramadhan.
Malangnya, umat Islam hari ini persoalan amalan sunat yang mendampingi Ramadhan, malah menjadi nadi kepada kekuatan Ramadhan itu sendiri semakin tidak dibicarakan.
Ada yang tidak lagi mengendahkan waktu bersahur, kerana lena dibuai mimpi, malah ada yang terlena hingga subuh ditinggalkan begitu sahaja.Puasa sekadar pada niat, dan menahan lapar serta dahaga.
Walhal lebih penting lagi, kedatangan Ramadhan ini seharusnya dititipkan dengan segala amalan sunat bermula dengan Solat Sunat Tarawikhnya; kemudian bertadarus Al-Quran (lebih molek bersekali mentadabur), solat Tahajjud di sepertiga malam, dan pada siang harinya juga di samping menahan lapar, dahaga, menahan mata, telinga mulut dari yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa, amalan bertadarus, mendengar tazkirah, bersedekah dan sebagainya juga boleh menambah nikmat Ramadhan.
Alangkah moleknya, jika solat Tarawikh juga diselangkan dengan slot tazkirah dipertengahannya, sementara ia mampu mengisi jiwa-jiwa yang menghadirkan diri ke rumah Allah dengan ilmu tambahan.
Mengapa Ramadhan disebut sebagai bulan rahmat dan pengampunan?
Nah pada bulan ini datangnya peristiwa penting hari-hari tertentu seperti turunnya Al-Quran (Nuzul Quran) pada hari ke-17 Ramadhan.
Malah di dalam bulan Ramadhan jugalah datangnya satu malam yang dipanggil Lailatul-Qadar iaitu suatu keistimewaan yang diturunkan Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja.
Allah menjanjikan bahawa mereka yang beramal pada malam tersebut diberi ganjaran pahala seperti beribadat selama 1000 bulan.Malam yang disebutkan ini akan datang pada 10 malam terakhir dan para ulama menakrifkan ianya pada malam ganjil.
Daripada Aishah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya " Carilah malan Lailatul -Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir sebelum ramadhan" *hadith riwayat Bukhari, Muslim Tarmizi dan Ibnu Majah).
Sejurus amalan-amalan yang disebutkan tadi dilakukan dengan baik, insyaAllah rasa kehambaan akan datang, dan disitulah nikmat iman dan jiwa penuh taqwa akan dirasai.
Jadikanlah Ramadhan kali ini bukan seperti Ramadhan yang sebelumnya yang mana daripada Ramadhan 'bulan makan-makan' kepada Ramadhan bulan melazatkan amalan yang membawa ketaqwaan.
Moga ia mampu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita semua kepada Allah.
Comments
Post a Comment