Gambar Hiasan
Seiring dengan usaha kita membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan. Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan tipu dayanya. Untuk itu, kita perlu kenal pasti laluan syaitan ketika memperdayakan akidah, kepercayaan, pegangan dan keyakinan kita.
Apabila kita amati puncanya, dapatlah diketahui bahawa hasutan syaitan itu banyak menyusup melalui pandangan dan renungan mata!
Kenapa pula pandangan mata perlu dipersalahkan?
Bahaya Panahan Mata Syaitan
Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat.
Kuat sangat ke?
Memang kuat!
Kerana ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Sebab itulah Rasulullah mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat mahupun yang tidak menutup aurat.
Telah berlaku di zaman Rasulullah, ketika Al-Fadhl bin Abas menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya ke arah lain.
Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.
Rasulullah juga pernah bersabda kepada Saidina Ali :
"Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu)." (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)
Jadi?
"Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan MELIAR dan tidak dijaga akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran."
Urusan mengawal pandangan ini tidak hanya di kalangan lelaki sahaja. Dituntut sama sahaja buat perempuan juga. Malahan perlu berlaku kerjasama kedua-dua pihak. Tidak satu pihak menjaga tatatusila, sedangkan satu pihak lagi menggoda. Perkara ini mesti diberi perhatian serius!
Ibnu Abas pernah berkata :
"Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya."
Pandangan Yang Tidak Sengaja Bagaimana Pula?
Rasulullah ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.
Rasulullah juga ada bersabda :
"Pandangan mata itu laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah."
Jelingan dan kenyitan mata akan mempelawa hati mendorong perlakuan lebih berani.
Bagaimana ye?
Bersentuhan berlapik, menginjak kepada tidak berlapik. Kemudian berpegangan tangan dan berdua-duaan di tempat terang dan juga sunyi boleh mengundang berlakunya maksiat. Sentiasalah memelihara diri kita daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah.
Pastikan orang lain tidak menanggung dosa atau terdorong untuk turut melakukan dosa. Jika kamu tidak menggoda, pasti orang lain tidak ternoda. Jagalah pakaian ketat dan cara pergaulan kamu. Tepati maksud firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 :
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa. Dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat seksa-Nya."
Pergaulan Yang Tidak Dijaga
Dengan batas-batas pergaulan itu kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang.
Kemesraan bergurau senda dan bergelak ketawa antara lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kita kepada perbuatan yang tidak disukai oleh Allah. Jika keluar berdua-duaan lebih-lebih lagi di tempat sunyi dan tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan berpeluang membisikkan kata-kata jahat.
Islam sama sekali tidak mengongkong umatnya! Bahkan Islam adalah agama yang paling selamat. Justeru Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong kepada perlakuan sumbang dan zina.
Dari itu, ingatilah amaran Nabi Muhammad kepada wanita dan lelaki bukan muhrim yang tidak menjaga batas pergaulan.
"Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya daripada zina. Dia mengetahui yang demikian itu dan tanpa dimungkiri :
Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah perkataan.
Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan langkah.
Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan keras.
Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan.
Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu."
(HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan Abu Daud)
Berhati-Hatilah Sahabatku!
Laraskan hati kalian di landasan kebenaran. Sesungguhnya hati yang terpelihara dari menjurus kepada sebarang keburukan sentiasa mendorong pemiliknya kepada keredhaan Ilahi. Akhirnya layak beroleh kebahagiaan hakiki lagi abadi.
Tidak ada istilah "ringan-ringan" dalam soal dosa. Dan tidak ada istilah "ringan-ringan" dalam berzina. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.
Wahai kedua mata, kau nikmati pandangan lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati. Hatilah yang memaksakan kehendaknya, kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta.
Biodata Kolumnis
Nur Na'imah Amarudin merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menulis di muslimdoktor.blogspot.com
Comments
Post a Comment