Kita masih melihat perkembangan yang semakin meleret-leret bermula dari laporan titah Sultan Selangor yang disambut oleh respon secara akademik oleh pakar perlembagaan negara Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Dalam kes ini, titah Sultan itu telah disambut dengan beberapa ungkapan daripada rakyat biasa warga Malaysia. Namun demikian, rakyat biasa yang bernama Dr Aziz Bari ini memiliki sedikit kelebihan berbanding insan lain berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimilikinya.
Pandangan beliau mengenainya merupakan komen yang bukan datangnya dari tong sampah, sebaliknya dari pengalaman, pengetahuan dan kepakaran beliau sebagai pendidik, pemikir dan intelek.
Malah, beliau adalah penulis buku undang-undang yang prolifik termasuk buku Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia, dan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.
Menghormati ilmu dan kepandaian seseorang itu, terutamanya apabila berbicara dalam bidang yang memang menjadi kepakarannya, adalah budaya yang baik. Sama ada disetujui atau tidak pandangannya, itu soal kebebasan bersuara dan berkekspresi. Justeru tidak timbul isu menghina atau menderhaka.
Batu api
Maka dalam hal ini, marilah kita kembali kepada pokok persoalan utama yang mana ia telah terhijab di sebalik sentimen kebencian dan emosi yang tak berpenghujung ini yang sengaja dibangkitkan oleh pihak-pihak yang takut kepada kebebasan bersuara.
Setiap manusia mempunyai hak untuk bersuara atau berbeza pandangan. Mereka juga punya hak untuk diam. Hak-hak ini harus dihormati oleh semua pihak.
Bagi manusia yang diberi kuasa atau pemegang amanah, maka menjadi haknya untuk menggunakan kuasa itu menurut undang-undang yang telah dimaktubkan. Jelas ia bukan suatu pertindihan peranan dan tanggungjawab.
Tetapi, dalam masyarakat, wujud pihak ketiga yang berperanan untuk mengambil kesempatan di atas hak-hak ini. Mereka ini biasanya dipanggil ‘batu api’. Golongan ini kerjanya menghasut, memancing dan memprovokasi mana-mana pihak agar dilihat bertelagah.
Mereka sekadar mahu dilihat menjadi juara dalam krisis yang mereka cipta sendiri. Golongan batu api inilah yang sedang mencetus permusuhan dan kekeliruan dalam masyarakat hingga pokok perbincangan dasar telah tersasar dan jauh dari matlamat murni.
Golongan batu api ini juga tidak menghormati hak kedua-dua belah pihak, dalam kes ini jelas merekalah yang tidak menghormati hak Sultan yang mewakili institusi Raja dengan memanipulasi dan menyalah tafsir titah Raja. Di kesempatan itu juga, puak-puak batu api ini juga tidak menghormati hak ahli akademik dan pemikir seperti Dr Aziz, sedangkan mereka sendiri dangkal tentang undang-undang.
Isu sebenar
Isu yang disentuh oleh Dr Aziz adalah isu yang berkaitan tentang rumusan atau interpretasi beliau sebagai seorang yang pakar mengenai Perlembagaan dalam aspek pelaksanaan dan amalannya.
Beliau menyentuh secara objektif dan jelas bahawa Sultan mempunyai kuasa mutlak sebagai ketua agama, namun dalam aspek pelaksanaan dasar atau undang-undang, Malaysia juga mempunya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang itu dan melaksanaan dasar-dasarnya. Justeru, garis sejelas ini harus dihormati oleh semua pihak.
Jadi, di mana pula timbul isu ‘menghina’ dalam konteks ungkapan Dr Aziz ini? Adakah beliau “mengherdik” Raja? Adakah perkataan yang diucapkan oleh beliau mempunyai bahasa kotor atau kasar, seperti yang menjadi amalan sesetengah blogger UMNO?
Jika ada, buktikanlah dengan hujah dan bukti. Bukan dengan laporan polis, bukan dengan ugutan. Ini bukan satu perlakuan jenayah hingga pihak batu api itu perlu melibatkan pihak polis yang sepatutnya menumpukan masa dan tenaga menjaga keselamatan rakyat daripada penjenayah dan jenayah.
Berhubung isu yang sama, portal berita Malaysiakini dalam satu wawancara melalui e-mel dengan Tunku Zain Al’Abidin Tuanku Mukhriz baru-baru ini telah melaporkan bahawa putera diraja Negeri Sembilan itu menyatakan bahawa titah diraja boleh dibincangkan oleh ahli akademik dan media selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan.
Menurut Tunku Zain Al’Abidin, membincangkan titah diraja adalah selaras dengan kebebasan bersuara asalkan ia tidak bersifat benar-benar menghasut, memfitnah atau mengalakkan keganasan.
Fitnah, bohong dan baling batu sembunyi tangan
Adakah kita masih ingat bagaimana titah Sultan Johor apabila ditanya oleh media berkenaan dengan kes kononya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghina Johor? Apa titah Baginda?
Dalam titah Sultan Johor kepada media, Baginda memang tersinggung dengan apa yang dikatakan sebagai kenyataan Guan Eng terhadap situasi di Johor Bahru tetapi turut menambah: “Biarlah ahli politik yang berpolitik, jangan heret Sultan sekali, tidak perlu ada orang bercakap sebagai wakil kerana saya boleh buat sendiri”.
Bagi yang memahami makna bahasa diplomasi, ungkapan “jangan heret Sultan” menunjukkan Baginda yang bijaksana tahu ada usaha segelintir pihak tertentu yang mahu mengheret institusi Raja ke dalam kancah politik. Inilah kerja si batu api.
Mujurlah institusi Raja telah melaksanakan peranannya dengan bijaksana hingga membuatkan para batu api ini gigit jari.
Kembali menghayati titah Sultan Selangor yang menimbulkan isu dengan Dr Aziz, apa yang jelas ialah Baginda mahu agama Islam terus dipelihara dan nasib ummah mesti dibela.
Dalam hal ini, agensi agama Islam seperti Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor perlu melaksanakan tanggungjawab dengan betul dan berkesan. Hanya dengan mutu kerja yang baik sahaja maka kegelisahan rakyat dan kebimbangan Sultan akan terubat.
Apa yang telah diutarakan oleh Dr Aziz sebenarnya juga jelas, iaitu dalam undang-undang, tiada siapa pun boleh mengatasinya. Sebaliknya, dengan menghormati undang-undanglah maka hubungan antara masyarakat dan agama, institusi Raja dan rakyat akan menjadi lebih syumul.
Bagi golongan batu api pula, mereka sepatutnya beristigfar dan berhenti daripada melakukan perbuatan terkutuk yang hanya akan mengelirukan masyarakat.
Jika hendak berpolitik, kemukakan gagasan dan manifesto. Jika hendak bersemuka dengan Dr Aziz, bersedia dengan hujah ilmiah. Jangan cepat-cepat lari ke balai polis, atau minta pihak berkuasa tangkap orang yang kita tak setuju hujahnya.
Tidak perlu mengadu domba atas nama agama mahu pun bangsa. Jangan baling batu sembunyi tangan. Dalam masyarakat Melayu dan budaya Timur, itu bacul namanya.
Comments
Post a Comment