ikatan kasih sayang bersama
Sejak keluar dari rumah jam 6.15 petang tadi, hujan masih turun mencurah. Tiada tanda akan berhenti. Sambil mendengar radio IKIM.fm, saya terus setia menunggu di dalam kereta. Sesekali saya meninjau dari kaca tingkap kereta, kalau-kalau terlihat kelibat suami di luar.
45 minit berlalu. Saya sedikit resah. Namun, sejurus terlihat samar-samar tubuh suami menghampiri, dengan berpayung dan membimbit tiga plastik barang-barang yang baru dibeli dari pasar malam berhampiran, saya menanti dengan senyum lega.
“Alhamdulillah hujan…tak ramai orang di pasar malam,” ujar suami sebaik pintu kereta dibuka, tanpa sempat saya bertanya. Plastik barang dihulurkannya kepada saya.
Sungguhpun pada awalnya saya dan suami bercadang membeli belah bersama ( berdua ), tetapi hujan lebat menyebabkan suami meminta saya menunggu sahaja di dalam kereta. Tambahan pula, tubuh saya masih terasa sedikit lemah kesan demam pada hari sebelumnya.
“Eh! “ Senyuman saya kian melebar. Mata bulat meninjau ke dalam satu plastik barang yang dibeli. Suami memandang agak terkejut. Namun kemudiannya turut tersenyum bersama.
Saya teruja. Suami ceria.
“Abang ni macam tau-tau je…As tak suruh pun tadi…” saya berkata dalam nada gembira. Aroma laksa menggamit selera. Sememangnya laksa makanan yang paling saya gemari sejak pertama kali menjamahnya sewaktu kecil dahulu, sehinggakan ayah menggelar saya, ‘hantu laksa’.
Ada laksa, nasi saya tolak ke tepi.
Hari-hari makan laksa pun saya sudi!
“Mestilah tahu…suami mithali…” jawab suami selamba. Saya tertawa.
‘Bunga-bunga’ bahagia mekar di dalam jiwa. Kembang segar mewarnai ‘taman’ hati.
IMPIAN RUMAHTANGGA MUSLIM
Sememangnya, impian lelaki dan wanita beriman itu sama. Jika lelaki beriman mengimpikan seorang suri yang solehah, taat, menjaga aurat, memelihara maruah suami dan dirinya ketika ketiadaan suami yang dikasihi di sisi; ditambah pula pandai mengurus rumahtangga dan mengasuh permata hati mereka sepenuh jiwa, maka semakin maraklah kasih dan cinta si suami kepada si isteri.
Lalu, demikian juga hasrat wanita beriman.
Dia mengimpikan seorang suami yang soleh, gigih menjana nafkah dan kewangan keluarga, menyintai usaha dakwah dan berusaha menjadi penyokong serta pendokongnya, menjaga pandangan terhadap wanita yang bukan mahramnya, menjaga solat dan melazimi sembahyang berjamaah di masjid serta tidak mudah melatah dalam menangani masalah rumahtangga.
Sungguh ideal impian lelaki dan wanita beriman.
Namun, kenyataan selalunya tidak seindah impian.
Berapa ramai pasangan hari ini mendapatkan seseorang yang sangat ‘jauh’ dari lelaki dan wanita idaman mereka. Alam rumahtangga menemukan mereka dengan ‘siapa’ sebenarnya pasangan pilihan jiwa. Senarai panjang kriteria suami dan isteri impian mereka rupanya tidak sebagaimana realiti yang ada. Setahun dua berumahtangga, kekurangan yang ada masih mampu di’pejamkan mata’, namun, menjengah ke tahun berikutnya bibit-bibit resah mula mengganggu.
Ketenangan hati wanita dan lelaki beriman ini akan segera berkocak bila mana sifat-sifat soleh dan solehah yang diimpikan pada pasangannya masih belum menjelma. Ketika inilah, persoalan kecil di dalam rumahtangga mula menjadi punca berlakunya perselisihan besar.
Situasi remeh menjadikan jiwa pedih, kesilapan yang ‘tidak apa-apa’ sebelum ini mula menempat di dalam jiwa.
KURANG AGAMA
Di sini….
Hening pandangan si isteri bertambah bening dengan juraian air mata, melihat suami yang dikasihi melengah-lengahkan ibadah solat fardu yang lima. Berjamaah bersama anak isteri pun sukar, apatah lagi berjamaah di masjid.
Jauh sekali.
Kaca TV lebih dimesrai, hiburan dan keseronokan padanya lebih dulu dirai. Tatkala penghujung waktu semakin menghampiri, barulah si suami terburu-buru. Melihat ini, si isteri cuba menasihati. Segala ilmu tentang solat di awal waktu disampaikan kepada suami. Penuh yakin, sepenuh hati dengan harapan suami menyedari khilaf diri.
Namun, semua itu disambut rasa jengkel dan ego seorang lelaki.
“Alah…saya bukannya tak solat, cuma lambat sikit je. Masih dalam waktu pun. Itu pun nak bising-bising!”
Si isteri terasa hati, akhirnya diam memendam rasa. Batinnya yang sedia sedih bertambah kecewa.
Sementara di sana….
Remuk rendam jiwa seorang suami bila nasihat yang diberi kepada isteri tercinta agar menutup aurat sempurna, juga teguran terhadap penampilannya yang biasa-biasa saja ketika di rumah, tetapi bersolek mengalahkan si anak dara tatkala keluar bekerja disambut cebekan panjang.
Ditambah lagi dengan kata-kata berbisa. Kesabaran si suami mula pudar, sementara si isteri pula galak mencabar.
“Apa salahnya saya pakai tudung macam ni? Dah tutup rambut pun, cuma tak labuh macam yang awak mintak. Saya bersolek kat luar pun, untuk awak juga. Kalau orang puji saya cantik, kan awak sebagai suami juga yang dapat nama! Bosanlah dengan ‘ceramah’ awak ni tahu tak? Kalau awak nak sangat isteri solehah, pakai tudung labuh, ikut semua cakap awak, ha..carilah yang lain! Saya ni memang tak layak!”
Di sini dan sana, situasi ‘kurang’ agama menukar ‘warna’ sebuah rumahtangga. Perkahwinan tidak lagi menjadi syurga, tetapi umpama neraka yang menyeksa.
Tinggal retak menunggu belah, bak kata pepatah.
BILA TIADA CINTA
“Ana tu tak cintakan Furqan sebenarnya….” demikian komentar ringkas suami usai menonton filem : Ketika Cinta Bertasbih.
Mendengar itu saya menoleh. Tertarik untuk mengetahui lebih lanjut pandangannya itu tadi.
“Kenapa abang cakap macam tu? Kan ke Ana nak bercerai dengan Furqan sebab Furqan mengidap HIV? Lagipun, kemungkinan dia dapat penyakit tu pun sebab dia cuai hingga ditipu dengan perempuan jahat tu…” saya menyanggah.
Seronok juga bersembang-sembang santai sambil melakukan ‘bedah’ filem bersama suami begini. Moga-moga manfaat darinya dapat saya sisipkan dalam penulisan atau perbualan bersama teman-teman perempuan.
“Kalau Ana betul-betul menyintai Furqan, dia tak akan semudah itu meminta cerai. Sebagai muslimah yang berilmu dan dilabel sebagai solehah, setidak-tidaknya, dia akan berusaha membawa suaminya berjumpa doktor dan mendapatkan pengesahan serta rawatan lanjut. Cinta antara dua hati adalah sebab untuk suami isteri berfikir berkali-kali sebelum melafazkan kalimah cerai yang merungkai ikatan pernikahan .” Ujar suami sambil kembali menoleh ke kaca TV.
Saya merenung sedalam-dalamnya. Dalam hati, saya membenarkan kata-kata suami tercinta.
Hakikatnya, bukan ‘diri’ kita secara fizikalnya yang memilih seseorang untuk dicintai, tapi cintalah yang mendorong kita untuk mencintai.
Justeru, alangkah baiknya, andai cinta itu dimiliki oleh hati yang terlebih dahulu subur mencintai-NYA tanpa selaput nafsu yang menipu dan melulu, lantas ia mendorong pelakunya untuk benar-benar mencintai pasangan hanya kerana-NYA semata.
PENCARIAN
Andai lelaki dan perempuan itu masih seorang teruna dan dara, maka pra-syarat pertama yang membawa kepada keadaan cinta di atas ialah konsisten ( istiqamah ) dalam usaha menjadikan diri mereka muslim/muslimah yang benar-benar soleh dan solehah. Saya berkeyakinan bahawa proses ‘menjadi’ ini pasti boleh membantu dalam pencarian mereka mendapatkan pasangan yang juga soleh dan solehah, lantaran sekurang-kurangnya ia telah melorongkan mereka untuk berada dalam kumpulan individu yang berkecenderungan sama kepada amalan-amalan ketaatan serta jauh dari unsur-unsur maksiat dan kerosakan.
Firman ALLAH SWT :
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُوْلَئِكَ مُبَرَّؤُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga). ( Surah An Nur ayat 26 )
Walaubagaimanapun, sebagaimana yang pernah saya nyatakan suatu ketika dulu, permulaan yang baik, bukanlah penentu kepada penghujung yang juga baik. Perkahwinan itu tidak lain adalah juga satu perjalanan kehidupan, penuh liku dan halangan yang mengganggu laluan.
Oleh itu, saya suka mengingatkan bahawa jatuh bangun, bahagia dan derita sesebuah perkahwinan tidak dilihat pada banyaknya harta, kemewahan atau material yang ada, tidak juga dihitung pada banyaknya cabaran yang singgah ketika melayari bahtera rumahtangga, sebaliknya ia bergantung kepada sejauh mana hubungan dua jiwa yang telah disatukan ini dengan Pencipta mereka dalam menjalani kehidupan setiap ketika.
Sifirnya terkandung di dalam Firman ALLAH SWT ini :
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
Maksudnya : “Dan sesiapa yang berpaling dari peringatan-KU, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan KAMI akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta." ( Surah Toha ayat 124)
Lalu, tidak hairan jika pasangan yang jauh dari ketaatan atau salah seorang dari mereka lalai mengingati TUHAN, maka derita jiwa ini akan mereka rasai dalam perhubungan. Oleh itu, bagaimanakah ‘nasib’ pasangan suami isteri yang dilanda badai perkahwinan ini? Masihkah ada harapan untuk mereka beroleh pasangan yang diimpi? Atau berakhirkah pencarian pertama ini, lantas mereka memulakan pencarian seterusnya? Mungkinkah pula akan berhasil dan berjaya?
HARAPAN
Sesungguhnya harapan itu masih ada. Tidak perlu mencari yang baru hanya kerana merasakan pencarian pasangan yang ada itu adalah satu kesilapan.
Bagaimana?
Berikut adalah beberapa saranan yang saya rasakan dapat membantu :
1) Jangan putus asa
Seorang pencinta sejati tidak akan pernah berputus asa. Oleh itu, dalam perkahwinan, ketabahan dan kesabaran itu amat penting, umpama isi kelapa, ‘ambil patinya, buangkan hampasnya.’
Jangan sesekali menjadikan cinta yang pernah hadir dulu umpama embun di pagi hari, sedikit demi sedikit ia menghilang kala bahang mentari kian meninggi.
Jika ini dapat dilakukan, maka langkah kedua pasti lebih mudah untuk dilalui, InsyaALLAH.
2) Perkasakan cinta
Andai pertemuan dengan pasangan adalah kerana cinta, maka pertahankan rasa cinta itu, namun ia terlebih dulu perlu dibersihkan dari nafsu yang menipu, kemudian diperkasa pula dengan CINTA kepada-NYA.
Gelora cinta ini akan menjadi penawar yang menolak segala kebencian yang hadir terutama ketika berhadapan karenah pasangan. Jika benar-benar mencintai suami/isteri, maka perasaan cinta ini mampu berfungsi sebagai ‘booster’ untuk membantu pasangan keluar dari kelalaiannya.
Insafilah, andai benar anda menyintai pasangan di dunia ini dan berkeinginan meneruskan alam percintaan di syurga abadi, InsyaALLAH, maka dua langkah di atas jangan sesekali diabaikan. Sematkan ayat cinta ini di dada kalian; sebagai peringatan, sebagai pedoman CINTA orang-orang bertakwa. Firman-NYA :
الْأَخِلَّاء يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
Maksudnya : “Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” ( Surah Az Zukhruf ayat 67 )
3) Gantungkan harapan
Jika mengharapkan cinta berkesinambungan hingga ke syurga, maka pergantungan yang benar harus diletakkan pada-NYA. Mengharap pada manusia, rasa kecewa akan menjelma bila jalan-jalan harapan itu dinodai dengan perlakuan yang tidak terjangka.
Akan tetapi, menggantung harapan pada ALLAH, walau apa jua yang berlaku di akhirnya, maka jiwa akan reda dan pasrah atas setiap ketentuan Yang Esa.
TERUSLAH BERCINTA HINGGA KE SYURGA-NYA
Akhirnya, perkahwinan, walau siapapun penerajunya, tetap akan ada masalah yang melanda. Ia sebagai ujian kesetiaan, rasa cinta dan terlebih lagi sebagai pemangkin keimanan bagi orang-orang bertakwa dan beriman. Andai fokus perkahwinan berkisar kepada persoalan, 'kenapa?' dan 'bagaimana?', maka 'siapa?' dalam satu-satu perkahwinan itu tidak lagi menjadi punca yg menghentikan denyut kasih suami isteri di pertengahan usia.
Justeru, aturlah langkah demi langkah, usah lelah apatah lagi mengalah.
Teruskanlah bercinta hingga ke syurga-NYA.
Moh kita, semoga ALLAH menunjukkan hidayah dan taufiq-NYA.
اللَّهُمَّ حَبِّبْ عَبْدَكَ هَذَا إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ وَحَبِّبْ إِلَيَّ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya ALLAH, jadikanlah hamba-MU ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (Riwayat Muslim no. 2491)
Ameen Ya Rabbal ‘alameen.
Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.
Dicatat oleh Noraslina binti Jusin
Comments
Post a Comment