CEO Karangkraf: 'Ayah yang didik saya'

July 28, 2013






17 Tip Usahawan Muslim Jutawan – CEO Karangkraf

Berikut adalah perkongsian-perkongsian ilmu yang sama nilainya dengan sebuah emas untuk diambil oleh para pembaca Majalah Niaga, sebagai formula untuk menjadi usahawan muslim jutawan.

#17 – Mula Dari Bawah

Kebanyakan masa, kejayaan itu bermula dari bawah. Ia ibarat ketulan salji yang membesar hasil daripada gumpalan kecil-kecilan sepanjang perjalanan.

Konsistensi menghasilkan kejayaan-kejayaan kecil adalah lebih utama untuk menghasilkan kejayaan besar.

#16 – Banyakkan Membaca

Apabila membaca, kita menambah nilai dalam kehidupan sendiri. Ia secara tidak langsung mendorong kita berfikir seperti apa yang kita baca. Sebab itu Dato Hussamuddin sehingga hari ini masih mengamalkan aktiviti membaca.

Walaupun beliau sibuk menguruskan perniagaan, membaca tetap menjadi satu keutamaan.

#15 – Buat Dengan Sepenuh Jiwa

Beliau ibarat Steve Jobs (pengasas Apple). Melakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa. Dengan itu baru muncul satu kepuasan dalam perjuangan.

#14 – Buat Perkara yang Kita Suka

Sinergi di antara membangunkan bisnes dengan perkara yang kita suka dan melakukannya dengan sepenuh jiwa, adalah sinergi yang menjamin kekayaan dan kepuasan dalam perniagaan.

#13 – Jaga Aliran Wang

Menurut Dato Hussamuddin, pemilik bisnes hanya boleh membelanjakan 10% daripada keuntungan perniagaan mereka. Ini bagi menjaga aliran tunai syarikat supaya tidak mudah tenggelam dalam masa yang singkat.

#12 – Berniaga Dengan Hati Ikhlas

Hati yang ikhlas dalam berniaga akan membuatkan usahawan muslim jutawan itu lebih tenang, dan diberkati Tuhan.

#11 – Sedekah dan Tolong Orang Ramai

“Jika berkemampuan, bersedekah sebanyak yang mungkin untuk membantu orang ramai.”

Dato Hussamuddin menyatakan Karangkraf mempunyai peruntukan RM4 juta setiap tahun, untuk dijadikan sebagai biasiswa kepada para pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

#10 – Setiap Masalah, Ada Peluang Besar

Jangan lihat masalah sebagai satu penghalang. Tetapi lihat dari dinding yang berasingan iaitu peluang besar yang akan membawa keuntungan yang berkali-kali ganda banyaknya.

#9 – Karekter Adalah Rahsia Potensi Diri

Labur masa, tenaga dan wang untuk mendalami karakter dan fungsi diri sendiri bagi menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian gunakan ia sebagai kekuatan utama dalam perniagaan.

#8 – Bersaing Secara Sihat

Jangan takut pada pesaing. Kerana mereka adalah golongan yang akan mencetuskan lebih banyak kreativiti dalam perniagaan kita. Pemilik perniagaan yang takut bersaing adalah mereka yang tidak akan berjaya dalam bisnes yang diceburi.

#7 – Kuasa Memberi Kepada Pelanggan

Rata-rata usahawan yang baru bermula seringkali ragu-ragu apabila ingin mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan pertama mereka. Ini yang menjadikan perniagaan itu hidup segan, mati tak mahu.

Amalkan konsep ‘berikan yang terbaik’ untuk setiap pelanggan. Setiap kali kita memberi, Allah akan permudahkan perjalanan rezeki kepada hambaNya.

#6 – Hargai Pekerja

Kukuhnya sesebuah syarikat milik usahawan muslim jutawan itu bukan sahaja kerana pengasasnya. Tetapi kesetiaan dan usaha daripada golongan pekerjanya.

Oleh yang demikian, sebagai pemilik perniagaan, tugas kita adalah menjaga sebaik mungkin pekerja-pekerja syarikat. Berikan yang terbaik untuk mereka supaya para pekerja rasa dihargai dan bermotivasi untuk membangunkan syarikat.

#5 – Untung dan Labur

Usahawan jutawan yang bijak adalah mereka yang menggunakan keuntungan untuk dilaburkan. Ini kerana ia dapat menggandakan wang kita tanpa perlu berusaha keras.

Cara ini diberi nama money makes money (duit buat duit).

#4 – Lengkapkan Diri Dengan Ilmu

Sehingga hari ini, setiap aktiviti yang kita lakukan adalah berdasarkan ilmu yang wujud dalam diri sendiri. Justeru itu, sentiasa mencari peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu.

Untuk berjaya dalam perniagaan, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu perniagaan.

#3 – Fokus Pada ‘Organic Growth’

Apa yang penting dalam perniagaan adalah keuntungan yang konsisten dan pembangunan bisnses yang organik.

Ramai usahawan Melayu muslim yang tergila-gilakan pendapatan pantas dalam perniagaan. Secara tidak langsung ia membunuh bisnes sendiri.

#2 – Sentiasa Ada Mentor

Setiap apa yang kita lakukan, jalan pintas untuk berjaya adalah menerusi sistem mentor.

Dato Hussamuddin menyarankan agar setiap peserta konvensyen berusaha untuk mencari seorang mentor yang berjaya dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi.

#1 – Kawan Kita Penentu Kejayaan

Dengan siapa kita berkawan, itu adalah penentu kejayaan. Oleh sebab itu, berhati-hati ketika memilih rakan-rakan sekeliling. Pilih rakan yang menyokong usaha dan impian, dan jalan kejayaan sentiasa wujud di hadapan mata.

Comments