Khairul Fahmi berjaya menyelamatkan pintu gol Kelantan pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. - Foto BERNAMA
Ipoh: Hanya tiga hari selepas berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA, Kelantan terus mempamerkan bisa apabila membenam Perak 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Detik lampu limpah stadium terpadam pada minit ke-14 sehingga perlawanan terpaksa dihentikan selama 16 minit seakan memberi petanda awal buat skuad kendalian Azraai Khor Abdullah ditimpa malang.
Turun dengan barisan terkuat sama ketika membenam Johor Darul Takzim (DT), Sabtu lalu, The Red Warriors bagaimanapun disentap apabila menghadapi saingan sengit daripada tuan rumah sehingga menamatkan babak pertama dengan kedudukan 0-0.
Indra muncul wira
Bersambung separuh masa kedua, skrip sama seakan berulang dan barisan depan pelawat seakan mudah dipatahkan skuad Seladang.
Perak memiliki beberapa peluang terbaik sebaliknya gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri 0-0, strategi jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memasukkan Indra Putra Mahyuddin membuahkan hasil apabila pemain berpengalaman itu meledak gol tunggal untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukannya.
Tersentak dengan jaringan itu, gandingan Azlan Ismail dan Paolo Rangel kembali mengatur beberapa peluang terbaik namun kesuntukan masa menafikan hasrat Perak untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Comments
Post a Comment