Buku hanya sumbang 28 peratus berat beg - Menteri

June 28, 2018

DR Maszlee Malik semasa sidang media berkaitan program matrikulasi KPM di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Buku hanya sumbang 28 peratus berat beg - Menteri

PUTRAJAYA: Kajian Berat Beg Sekolah Murid Sekolah Rendah oleh Kementerian Pendidikan pada tahun lalu mendapati buku teks dan buku aktiviti sekolah hanya menyumbang 28 peratus daripada berat beg sekolah murid.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kajian itu mendapati lebihan 72 peratus berat beg murid disumbangkan oleh barangan lain seperti alat tulis, buku kerja swasta, uniform sekolah agama dan kokurikulum, bekalan makanan dan minuman, gajet dan berat beg itu sendiri.

Beliau berkata, kementerian akan melaksanakan tiga langkah segera bagi mengatasi isu beg berat itu termasuk mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada yang akan berkuat kuasa pada Januari 2019.

"Di dalam surat ini, kita memberikan arahan mengenai beberapa perkara yang perlu dipatuhi, contohnya tidak boleh ada buku tambahan dan mengurangkan kebergantungan kepada buku teks.

"Selain itu, kita menggubal garis panduan kepada murid, guru, ibu bapa, penjaga dan sekolah untuk dipatuhi berhubung isu itu dan komunikasi serta kolaboratif iaitu kempen kesedaran dan hebahan makluman berterusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kajian mendapati punca beg sekolah berat itu disebabkan inisiatif pihak sekolah dan guru yang mewajibkan pembelian buku tambahan, justeru beliau berharap melalui pembelajaran abad ke-21 yang diterapkan di sekolah, perkara itu dapat diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung individu yang menyamar sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau dan menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah Miri Sarawak bagi mendapatkan maklumat mengenai sekolah yang memerlukan kerja penyelenggaraan.

"Individu itu memaklumkan kononnya Menteri Pendidikan akan membuat lantikan terus kontraktor untuk kerja penyelenggaraan berkenaan.

"Saya memandang serius perkara ini kerana ia adalah satu cubaan berani untuk melakukan penyelewengan kuasa menggunakan identiti SUSK Menteri," katanya.

Mengenai pembangunan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu dan perpindahan enam sekolah yang diluluskan di bawah kerajaan terdahulu, Maszlee berkata, pembinaan dua SJKC yang sudah dimulakan akan diteruskan, lapan lagi sekolah akan diteliti berdasarkan keperluan, situasi kewangan serta isu ketelusan manakala perpindahan sekolah akan diteruskan.

Berhubung pelantikan penasihat khas beliau, Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu yang didakwa sesetengah pihak sebagai lantikan politik, beliau berkata, Wan Saiful menawarkan diri bagi melunaskan janji Pakatan Harapan berhubung isu PTPTN.

Menurutnya, pihaknya menghubungi beberapa pihak terutama yang mempunyai latar belakang ekonomi dan kewangan bagi jawatan itu, namun ramai yang menolak kerana tidak mahu mengambil tanggungjawab dan risiko berikutan komitmen PH melaksanakan janji.

"Dalam perbincangan, Wan Saiful terpanggil kerana waktu tidak banyak untuk PH melunaskan janji. Beliau sanggup mengambil risiko, jadi ini bukan lantikan politik tetapi menjadi bebanan kepada beliau kerana terpaksa bekerja dalam keadaan waktu yang suntuk dan dengan sumber yang begitu terhad," katanya.

Comments