Bekalan air bersih pulih mulai 5 Mac – Lawrence Lai


LAMBIR, 4 Mac — Bekalan air bersih di Miri dijangka kembali pulih esok (5 Mac) sekiranya ujian mendapati air di loji rawatan selamat digunakan dan memenuhi standard industri yang ditetapkan.

Ahli Lembaga Pengarah LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) Kawasan Miri, Lawrence Lai berkata, setakat ini Pasukan Bertindak Kecemasan bagi Tumpahan Minyak daripada Sarawak Shell Berhad dan Petronas Carigali masih bertungkus-lumus membersihkan pencemaran kesan tumpahan minyak diesel berkenaan.

“Kita melakukan yang terbaik untuk mengawal pencemaran itu dan sehingga jam 6 petang tadi, LAKU Miri sudah mengepam air dari Sungai Liku untuk ujian.”

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memulakan operasi seperti biasa sehingga ujian benar-benar mendapati air tersebut selamat digunakan,” katanya sambil menambah diharap bekalan air bersih kemabli pulih keesokan hari.

Beliau yang juga Datuk Bandar Miri dalam pada itu menasihatkan peniaga dan penjual air mineral agar tidak menaikkan harga air mineral sesuka hati.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting turut menasihatkan penduduk Miri agar tidak melakukan pembelian panik air mineral.

“Saya bercakap dengan pegawai LAKU pada jam 7.35 petang tadi dan dijangka bekalan air kembali pulih keesokan hari,” katanya.

Comments