Masalah Perempuan Suka Upload Gambar Di Media Sosial

Ada beberapa sudut yang perlu dibincang dalam isu ini antaranya ialah perhiasan yang dibenarkan didedahkan oleh seorang wanita , isu saranan menundukkan pandangan kepada kaum lelaki, isu niat dan isu fitnah.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahirdaripadanya; (terjemahan sebahagian ayat 31 surah al-Nur )

Daripada Aishah R.A bahawa Asma’ bte Abu Bakar menemui Nabi SAW dalam keadaan berpakaian agak nipis lantas Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata “wahai Asma’ sesungguhnya apabila sampai peringkat umur baligh , tidak harus dirinya dipandang kecuali ini sambil menunjuk kepada muka dan tapak tangannya.(sunan Abi Daud 4014)

Dalam isu menundukkan pandangan Allah SWT berfirman:

Bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.(Terjemahan ayat 30 surah al-Nur)

Mengikut sebahagian ulama muka dan tapak tangan adalah termasuk dalam perhiasan yang diberi keizinan oleh syara’ untuk didedahkan.

Namun falsafah mengapa ia diberi keizinan ialah seperti diungkap oleh al-Hafiz Ibnu Kathir “Janganlah mendedahkan perhiasan berkenaan kepada lelaki asing kecuali yang tidak mungkin atau sukar untuk di sembunyikan”

Maka dengan itu, sengaja meletakkan gambar walaupun  menutup aurat didalam laman sosial (eg facebook, friendster) atau blog peribadi tanpa tujuan dharuri hendaklah dijauhi lebih-lebih jika gambar itu ada unsur tabarruj, aksi yang merangsang dan membawa kepada fitnah yang lebih besar kepada diri sendiri mahupun keluarga .
Kecuali ada maksud tertentu yang diterima oleh shara’ tetapi dengan penampilan yang cukup beradab seperti bersama-sama rakan yang lain dalam sesuatu program atau bersama suami .

Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia

Comments