BREXIT DAN KESANNYA KEPADA MALAYSIA

June 25, 2016


BREXIT DAN KESANNYA KEPADA MALAYSIA

APA ITU BREXIT?

Ketika artikel ini ditulis United Kingdom (UK) sedang dalam proses untuk menganjurkan satu rederandum yang akan diadakan dalam minggu ini pada 23 Jun 2016. Referandum itu dijangka akan menentukan nasib UK sama ada kekal ataupun keluar dari Kesatuan Eropah (European Union, EU). Referandum merupakan satu bentuk undian umum boleh diundi oleh rakyat sesuatu negara untuk menjawab satu persoalan politik. Hasil undian tersebut kemudiannya akan digunakan untuk menentukan polisi sesuatu negara tersebut. Antara referendum popular yang pernah dijalankan di UK ialah referandum kemerdekaan Scottish pada tahun 2014 yang bertujuan menjawab persoalan adakah rakyat Scotland ingin kemerdekaan dari UK. Hasil referendum itu kemudiannya menunjukkan lebih ramai rakyat Scotland ingin kekal didalam UK dengan hasil undian untuk kekal mencecah 55.3% daripada jumlah keseluruhan undian.

Perkataan Brexit merupakan perkataan gabungan dari dua perkataan iaitu Britain Exit merupakan satu kempen untuk UK menarik diri dari EU. Keahlian UK didalam EU bukanlah satu topik baru dalam dunia perdebatan hubungan antarabangsa. Ianya satu topik yang telah lama didebatkan sejak penyertaan UK didalam European Economic Community (ECC) pada tahun 1973 lagi. Referandum yang berkait dengan topik ini juga bukan satu perkara baru. Referandum yang bakal diadakan pada 23 Jun 2016 ini sebenarnya merupakan referandum yang kedua yang seumpamanya. Referandum pertama pernah diadakan pada tahun 1975 dengan hasil 67% dari rakyat UK memilih untuk kekal
.
ANTARA KELUAR DAN KEKAL

Mereka yang menyokong untuk keluar dari EU:

Antara isu utama yang mencetuskan momentum kempen Brexit ialah isu kedaulatan UK. Antara polemik yang diperdebatkan ialah campur tangan Brussel dalam urusan pentakbiran dan hubungan luar Britain. Brussel merupakan pusat kepada EU sepertimana Jakarta merupakan pusat bagi ASEAN bagi rantau Asia Tenggara. Sebarang keputusan yang ditentukan di Brussel dibawah EU harus diakuri oleh pihak UK. Selain itu isu imigrasi juga menjadi satu kesukaran pada UK kerana ianya dikawal bawah EU. Sentimen anti imigran juga mula semakin membara semenjak beberapa insiden keganasan berlaku seperti pengeboman di Brussel. Kerakyatan UK yang naik mencanak hasil imigrasi menyebabkan UK dikatakan mengalami masalah dalam mengawal kos perumahan, perkhidmatan awam dan sektor pekerjaan mereka. Tiga aspek itu juga sering menjadi fokus kritikal setiap kali pilihanraya umum UK. UK juga dikatakan akan menjimatkan hampir beberapa billion dari segi yuran keahlian EU dan keluarnya UK dari EU membolehkan mereka menentukan sendiri sebarang perjanjian perdagangan UK berbanding dengan situasi semasa dimana UK terikat dengan EU. Kempen Brexit ini diketuai bekas Datuk Bandar London, iaitu Boris Johnson.

Mereka yang menentang keluar dari EU:

Bagi pihak yang menentang Brexit pula mereka mempertikaikan yang bahawa tindakan keluar dari EU mampu mengurangkan kemakmuran UK dan mengurangkan kuasa UK dalam menentukan hala tuju antarabangsa. Mereka yang menentang juga membawa hujah yang tindakan keluar dari EU boleh menjejaskan keselamatan UK kerana mereka sudah tidak dapat mengakses sistem pengkalan data EU lagi dalam mengenalpasti penjenayah. Hujah lain yang turut dibawa ialah tindakan untuk keluar dari EU boleh menyebabkan wujud sempadan antara UK dan EU yang boleh menyebabkan kehilangan kerja, menyebabkan pengaliran pelaburan masuk ke UK menjadi perlahan selain dari boleh menjejaskan perniagaan kecil dan besar di UK.

Antara syarikat yang dikatakan akan terkesan ialah syarikat jaguar landrover yang berkemungkinan menghadapi kerugian dalam nilai hampir 1 Bilion pound jika UK keluar dari EU. Jaguar Landrover merupakan syarikat automotif terbesar di UK. Tarif yang bakal tinggi untuk kenderaan syarikat tersebut memasuki pasaran EU dikatakan boleh menyebabkan harga kenderaan keluaran syarikat tersebut dikatakan tidak lagi berdaya saing di Eropah. Bagi menentang kempen Brexit mereka yang menyokong UK kekal didalam EU telah mengadakan kempen balas bernama Britain Stronger in Europe.

Terdapat ramai juga orang-orang kenamaan yang terlibat dalam kempen tersebut. Antara yang popular ialah J.K Rowling penulis siri fantasi remaja Harry Potter yang kini lantang melaungkan kempen kekal didalam EU di Twitter beliau. Kempen untuk kekal ini secara amnya diketuai oleh Perdana Menteri UK sendiri iaitu David Cameron.

MENGAPA MALAYSIA PERLU PEDULI?

Umumnya kita sedia maklum yang Malaysia merupakan salah satu anggota negara-negara komanwel. Namun tidak ramai mengatahui status negara komanwel membenarkan kita mengundi di UK sekiranya mendapat status residen di UK menurut Electoral Commission UK. Ini bermakna rakyat Malaysia berstatus residen UK boleh mengundi didalam referandum Brexit ini!

Antara syarat yang ditetapkan oleh Electoral Commission UK untuk membolehkan seseorang itu mengundi di UK ialah
-Berumur 18 tahun di England, Northern Ireland dan Wales ataupun untuk kes Scotland berumur 16 tahun untuk mengundi dalam pilihanraya tempatan Scotland dan berumur 18 tahun untuk mengundi parlimen UK.

-Rakyat British ATAU rakyat negara-negara komanwel yang menjadi residen di UK

Menurut statistik ONS pada tahun 2013 seramai 59,000 rakyat kelahiran Malaysia berada di UK. Kumpulan pelajar Malaysia yang menuntut di sana juga hampir mencecah 14,500 yang sekaligus menjadikan kumpulan pelajar Malaysia antara kumpulan pelajar terbesar di UK. Sekiranya mereka itu berstatus residen bermakna Malaysia mampu membawa impak hampir puluhan ribu didalam referandum Brexit ini.

KESAN BREXIT KEPADA MALAYSIA

Kesan Brexit pada Malaysia sekiranya referandum itu menyebelahi UK keluar dari EU sebenarnya agak minima. UK secara dasarnya bukanlah negara teratas dalam hubungan perdagangan dengan Malaysia. Sesetengah CEO-CEO di UK terutamanya dari kelompok veteran masih lagi merasai kesakitan Serangan Subuh dari Malaysia dan mereka tidaklah begitu mengutamakan Malaysia dalam hubungan perdagangan atas sentimen tersebut menurut pendapat peribadi sesetengah pihak.

Namun kita sedia maklum ketika ini nilai pound masih agak tinggi disebabkan nilai tukaran matawang Euro yang dijadikan sandaran. Sekiranya UK meninggalkan EU adalah diramalkan nilai pound boleh mencecah nilai Dolar menurut ramailan Ketua Ekonomi IQI Shan Saeed dan ini sekaligus menguatkan nilai tukaran ringgit ke pound. Apakah kepentingan nilai itu kepada kita rakyat Malaysia?

Pertamanya dari segi perlancongan. Dari segi nilai tukaran matawang pound yang semakin menguntungkan anda kini tidak perlu bermimpi lagi ingin pergi melancong ke UK. Nilai matawang yang rendah adalah antara faktor penarik perlancongan yang kritikal.

Antara penyebab mengapa Greece juga berniat keluar dari EU ialah untuk mengurangkan nilai matawang dengan sengaja untuk menarik pelancong kembali masuk ke negara mereka kerana Greece merupakan negara yang mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada sektor perlacongan dalam menjana ekonomi negara. Inia mat kritikal kepada Greece untuk pulih dari kebankrapan. Kejatuhan matawang pound dilihat bakal menjadi daya penarik kemasukkan pelancong ke UK.

Dari segi pendidikan juga ianya secara teori menguntungkan rakyat Malaysia. Seperti mana yang saya sebut di perenggan atas kumpulan pelajar Malaysia ialah antara kumpulan pelajar terbesar di UK. Nilai tukaran matawang yang meningkat antara pound dan ringgit bakal menyenangkan hidup mereka. Selain itu ia juga secara teori memungkin Kementerian Pendidikan Malaysia menambah jumlah penghantaran pelajar ke UK dalam tahun-tahun terdekat yang sekaligus boleh memberi peluang cerah kepada adik-adik kita yang kini di bangku SPM untuk mendapat peluang yang lebih cerah untuk menuntut di UK.

Dari segi perdagangan juga Malaysia mempunyai peluang untuk meningkatkan perdagangan dengan UK dek tukaran matawang pound dan ringgit yang memberi kelebihan kepada sektor perdagangan Malaysia. Ketiadaan batasan perdagangan dari EU juga memungkinkan Malaysia meningkatkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan UK. UK juga dilihat perlu menjalinkan lebih jalinan perdagangan di luar EU dan ini boleh dilihat sebagai satu peluang pada Malaysia.

Semua perkara ini masih di peringkat teori dan boleh diperdebatkan. Rakyat Malaysia yang berkerja di UK misalnya mungkin cenderung menolak Brexit kerana pendapatan mereka boleh terjejas. Lebih-lebih lagi rakyat kita yang berkerja di syarikat UK yang mempunyai kepentingan didalam EU. Namun dari segi kepentingan Malaysia setakat ini terutamanya dari segi nilai matawang Brexit dilihat memberi lebih peluang kepada Malaysia dalam sektor perdagangan, perlancongan dan pendidikan.

-Ben Mazalan-

Comments