Persahabatan: M'sia, Filipina seri 0-0



Skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee sekadar terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan sebaik sahaja tiupan wisel perlawanan oleh pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Skuad kebangsaan memperoleh gol pertama pada minit ke-12 menerusi Amiridzwan Taj Tajudin yang menanduk masuk sepakan percuma diambil Mohd Amri Yahyah namun dibatalkan Mohd Amirul Izwan selepas pemain itu dikatakan berada dalam kedudukan offsaid.

Dua tandukan, masing-masing menerusi Kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Safiq Rahim pada minit ke-15 dan 17 sekadar singgah di palang pasukan pelawat.

Perlawanan terhenti sementara pada minit ke-31 selepas penyokong setia skuad kebangsaan Ultras Malaya menyalakan suar serta membaling bom asap ke dalam kawasan padang sebelum bersambung kembali tujuh minit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus melancarkan serangan untuk mencari gol pendahuluan dan percubaan terbaik hadir menerusi Bobby Gonzales pada minit ke-49 namun sepakannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Filipina Patrick Phillip Deyto.

Kim Swee melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Mohd Badhri Mohd Radzi dan Baddrol Bakhtiar serta mengeluarkan Mohd Hafiz Kamal dan Bobby Gonzales beberapa minit kemudian bagi memantapkan jentera serangan namun masih gagal menembusi kekebalan benteng Filipina.

Pasukan pelawat sebaliknya berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-60 menerusi penyerang Philip James Younghusband namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol negara Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid dan keputusan seri kekal sehingga perlawanan berakhir.

Malaysia bakal berdepan Yaman pada perlawanan terakhir kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di UAE pada 5 Mac ini.

- Bernama

Comments