10 Adab Berbisnes Mengikut Syarak



April 07, 2014 — Penulis: Ahmad Fahmi Ishak

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sejagat, manusia sering berhubung antara satu sama lain untuk memudahkan keperluan semasa. Ada di antara mereka menggunakan kemudahan teknologi yang ada bagi memudahkan gerak kerja, di samping itu juga medium teknologi yang ada diguna pakai untuk urusan perniagaan yang tiada sempadan.

Lambakan aplikasi teknologi seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, We Chat dan pelbagai lagi aplikasi yang ada di alam maya berjaya memudahkan urusan seharian sejumlah manusia. Kemudahan yang ada ini secara tidak langsung memendekkan masa dan berjaya menghubungkan dunia timur dengan barat.

Tidakkah ini semua menguntungkan kita selaku orang yang berniaga? Sudah tentu kita bersetuju bahawa kemudahan yang diwujudkan oleh kita sendiri berjaya membawa keuntungan diluar jangkaan. Tetapi tidakkah kita terfikir bahawa kita tercicir satu perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu adab kita dalam berniaga?

Adab atau akhlak merupakan intipati dalam kehidupan kita selaku orang Islam. Kita disaran supaya mengikut bahkan wajib mengikuti sunnah-sunnah Rasullulah SAW. Pada kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu yang mana semakin habis ‘dimakan keuntungan’ perniagaan gara-gara kita terlepas pandang tentang adab kita dalam berniaga.

Adab Berniaga 2

Agama Islam yang mulia ini bukan sahaja telah menggariskan panduan serta etika dalam berniaga, bahkan telah meletakkan senarai barang-barang yang boleh dijual beli dan ada juga yang diharamkan. Berikut merupakan antara adab-adab berniaga yang digariskan oleh syariat Islam:

1) Niat

Inilah perkara yang paling asas dalam memulakan setiap ibadah kita baik yang wajib mahupun yang sunat. Dalam kita menjalankan perniagaan kita akan bertanya dalam diri kita apa tujuan kita menceburkan diri dalam perniagaan dan seterusnya kita akan lebih bersikap tanggungjawab dan berhati-hati supaya tidak terjebak kepada yang haram. Hal ini disebabkan oleh kita telah niatkan semuanya kerana Allah.

2) Tidak Menjual Barang Yang Diharamkan

Sebagai seorang Islam yang berakal, kita ditegah daripada mendekati perkara yang diharamkan oleh syariat Islam sendiri. Dalam hal ini, kita disarankan supaya menghindari barang-barang yang diharamkan seperti dadah, arak, majalah porno dan lain-lain.

Bersabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis, maksudnya:

“Perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu juga jelas, di antara kedua-duanya adalah syubhah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud ‘Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali perkara yang baik iaitu halal.’ (Hadis riwayat Muslim)

Inilah saranan kepada kita berdasarkan hadis baginda supaya kita berwaspada dalam berniaga. Boleh jadi bagi kita perkara ini seperti tidak membawa kesan, akan tetapi ingatlah berurus niaga barang yang haram inilah yang membawa kepada kerosakan dalam tamadun manusia.


3) Tidak Memonopoli Barang

Antara hak peniaga terhadap pelanggan ialah tidak menyekat barang keperluan asas yang mana ia menjadi nadi kehidupan keperluan isi rumah. Inilah yang dilarang oleh syariat Islam iaitu menyimpan barang dalam masa tertentu untuk dijual apabila berlaku peningkatan harga yang melambung tinggi.

Bahkan ia haram di sisi Islam kerana memberi kemudaratan kepada orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya;

“Siapa yang memonopoli makanan selama empat puluh hari maka ia terlepas daripada Allah dan Allah terlepas daripadanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Al Hakimi)

Seandainya perkara ini berlaku, secara tidak langsung membawa kepada ketidakadilan dalam sosio ekonomi yang mana setiap rezeki Allah harus dikongsi bersama. Inilah garis panduan dalam berniaga, baik dalam skop yang besar mahupun yang kecil.

4) Mematuhi Perjanjian

Dalam setiap perniagaan, ada perjanjian atau MoU yang sering diadakan bagi memutuskan persetujuan antara dua pihak (pembeli dan penjual). Dalam syariat Islam, ia dipanggil akad jual beli. Dalam hal ini kita dilarang melanggar perjanjian yang telah disepakati kerana ia boleh membawa kepada kerugian atau hilang kepercayaan pada masa akan datang.

Ini sering berlaku dalam skop perniagaan yang mencecah ratusan ribu mahupun jutaan ringgit yang mana memerlukan perjanjian serta sikap keterbukaan berdasarkan isi kandungan perjanjian.

Mari kita selak sebentar ayat al-Quran dalam surah Al-Maidah, ayat 1 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu.”

Lihatlah betapa pentingnya memenuhi perjanjian sehingga pada awal permulaan surah sudah ditegaskan oleh Allah. Betapa pentingnya kita menjaga isi kandungan perjanjian atau MoU ini dan janganlah kita terikut-ikut sikap bangsa Yahudi yang sering kali mengingkari perjanjian yang ada sehingga dilaknat oleh Allah.


5) Mencatat Segala Urusan Jualan

Istilah resit pembelian atau akaun keluar masuk kewangan sering kali diguna pakai dalam setiap urusan pembelian. Hal ini bertujuan untuk mengukuhkan proses jual beli serta mengadakan proses jual beli di hadapan saksi yang dipercayai.

Dalam hal ini, Allah Taala ada berfirman:

“Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli.” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

6) Bersikap Jujur

Jujur dan bersikap terbuka dan tidak menyembunyikan kecacatan yang terdapat pada barang yang diniagakan ketika menjualnya. Sifat ini merupakan sifat yang terpuji dan mudah mendapat kepercayaan orang ramai.

Sikap amanah yang terdapat pada diri penjual memberi tanda kepuasan kepada si pembeli. Tidakkah ini memberi tanda bahawa sifat mahmudah sudah ada di dalam jiwa kita?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda:

“Seorang Muslim itu adalah saudara Muslim lainnya, maka tidak halal bagi seorang Muslim membeli daripada saudaranya suatu pembelian yang ada cacatnya kecuali dijelaskan terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Ahmad)

7) Menghindari Riba

Perkara yang tidak terlepas dikalangan kita pembeli mahupun penjual. Ia boleh berlaku baik di kalangan kita yang beragama Islam mahupun bukan. Sudah menjadi sinonim, perniagaan sering kali terlibat dengan riba sedangkan di dalam al-Quran, Allah Taala ada menyebut;

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, ayat 275)

Inilah kayu ukur kita dalam menjalankan urusan jual beli dengan sekalian manusia di alam perniagaan. Inilah yang menyebabkan setiap perniagaan kita hilang keberkatannya hanya kerana kita “memandang sebelah mata”, sedangkan kita sudah ada disiplin ilmu dalam bab fiqh muamalat dalam hal ini.

Halal

8) Memastikan Barang Yang Dijual Halal

Hindarilah penjualan barang hasil curian atau mengambil hak orang tanpa hak (rampasan). Dalam hal ini, Allah Taala ada berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka diantara kamu.”(Surah an-Nisa’, ayat 29)

9) Menghindari Tipu Daya

Promosi, iklan, poster, pamplet atau sebagainya adalah antara cara sebaran umum kepada pembeli supaya barang kita habis penjualannya. Kita diajar supaya berhati-hati dengan promosi palsu atau jualan penghabisan stok yang mana kononnya untuk menghabiskan barang lama sehingga diberi kadar diskaun yang ‘melampau’.

Lebih-lebih lagi di zaman teknologi yang serba canggih ini, pelbagai promosi dilakukan oleh penjual demi menarik perhatian pelanggan walaupun perkara tersebut jelas bertentangan dengan Islam. Akses internet yang menjadi medium utama dalam menjalankan perniagaan sering kali diguna pakai untuk mengaburi mata pembeli. Walau apa pun, terpulang pada diri kita sendiri bagaimana cara kita menggunakannya.

Menjaga Syariat Islam

10) Menjaga Syiar-syiar Islam

Menjaga segala perintah syarak dengan baik dan sentiasa menjauhi segala larangan Allah Taala merupakan kunci kejayaan kita di dunia. Sentiasa mendahulukan Allah dalam setiap aspek kehidupan kerana ia memberi kebaikan kepada diri kita sendiri. Contoh paling mudah ialah menjaga solat berjemaah, bersedekah, infak dan sebagainya.

Sebaik-baik manusia ialah orang yang tidak melebihkan dunia daripada akhiratnya. Al-Quran ada menyebutkan tentang hal ini dalam surah an-Nur, ayat 37;

“Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta memberi zakat. Mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

Inilah serba sedikit adab-adab yang penulis ‘hidangkan’ kepada pembaca sekalian supaya kita sama-sama kembali kepada asas ketika berniaga. Janganlah kita abaikan aspek ini kerana di sebalik perniagaan yang kita lakukan, ada berkatnya. Contoh tauladan dari Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para ulamak patut dijadikan sebagai cerminan dalam memajukan perniagaan kita.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (manusia),” sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Comments