Rumahtangga Rasulullah SAW

July 01, 2015


Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga, semestinya mengimpikan baitul muslim yang dibina akan kekal selama mungkin, insyaAllah hingga ke syurga. Namun, adakalanya hari yang disangka panas sampai ke petang, mungkin juga disapa hujan di tengah hari. Tidak dinafikan, adakalanya hujan yang menyapa mungkin juga merupakan rahmat, adakalanya perpisahan mungkin juga merupakan cara terbaik menyelesaikan masalah yang sudah menemui jalan buntu.

Dalam usaha untuk membina bahtera rumahtangga yang kukuh, apakah persediaan yang diperlukan oleh setiap pasangan? Antara yang terpenting ialah persediaan dari segi ilmu agama dan ilmu kekeluargaan. Sering kali kita lihat di kaca tv, program-program yang membincangkan isu kekeluargaan mengambil artis atau selebriti sebagai panel untuk memberikan pendapat dan berkongsi rahsia kebahagiaan masing-masing. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan pendekatan sebegini, kerana dikhuatiri kita menjadikan contoh dan mengambil pendapat tentang sesuatu dari yang bukan ‘ahlinya’, yang malah belum cukup menegakkan agama dalam diri mahupun kehidupan seharian. Sebaiknya kita menyingkap kembali sirah baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, yang akhlak dan kehidupannya sudah terpandu, untuk kita jadikan contoh dalam setiap sisi kehidupan termasuk dalam ilmu rumahtangga.

Perkahwinan merupakan ikatan yang menyatukan dua jiwa yang berbeza, di mana kedua-dua jiwa ini telah di adun oleh keluarga masing-masing, berlatar belakangkan suasana yang berbeza selama sekurang-kurangnya 20 tahun (anggaran), yang jika di fikir secara logik, mana mungkin mampu hidup dengan aman damai.

Oleh itu, pentingnya bagi pasangan yang bakal berkahwin membetulkan cara memandang perkahwinan, yang hakikatnya ianya adalah medan untuk saling melengkapi, berkhidmat, bekerjasama, belajar mematangkan dan memperbaiki diri dalam meraih redha Ilahi, bukan sekadar hiburan alternatif untuk mengelakkan maksiat semata-mata.

Mari kita berkongsi antara petua-petua ke arah mewujudkan keharmonian dalam rumahtangga:

1. Meraikan minat/kesukaan/ kegembiraan pasangan

Diriwayatkan dari An Nasaie, pada suatu hari, Saidina Abu Bakar ra ketika mendatangi rumah anaknya Saidatina ‘Aisyah, terlihat ada dua orang anak perempuan sedang bermain rebana dan
keduanya menyanyi. Dilihatnya baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم menutup kepalanya dengan kain. Melihat kedatangan Abu Bakar ra, baginda membuka penutup kepala seraya berkata, “Wahai Abu Bakar, biarkan sahaja. Hari ini adalah hari raya.” Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah menemani Saidatina ‘Aisyah menonton satu pertunjukan walaupun baginda tidak meminatinya. Namun baginda meraikan keinginan isterinya untuk menonton
sambil membiarkan isterinya meletakkan dagu dibahunya. Dengan sabar baginda meraikan keinginan itu tanpa bersungut sebaliknya cuma bertanya, “adakah kamu sudah puas” dan hanya beredar sehingga isterinya mengiakannya.

Lihat bagaimana kesabaran baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam melayani dan meraikan minat/kegembiraan isteri
walaupun baginda tidak meminatinya. Meraikan minat pasangan
amat penting untuk diterapkan dalam sesebuah perkahwinan kerana kegagalannya dikhuatiri akan memberi ruang insan lain di luar mengambil alih tanggungjawab pasangan dalam meraikannya, alu menjadi punca kepada goyahnya sesebuah rumahtangga.

2. Menyantuni kepelbagaian sifat pasangan:
Islam tidak menafikan sifat kemanusiaan, di mana lumrah setiap manusia ada sifat yang positif dan juga negatif. Namun, bagaimana patut seseorang itu menguruskan sifat negatif pasangan?

Diriwayatkan oleh An-Nasaie, pada suatu hari, isteri baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Ummu Salamah mengirimkan satu
piring makanan untuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabatnya. Kemudian, Saidatina ‘Aisyah yang cemburu melihat makanan dari Ummu Salamah datang membawa seketul batu ditangannya lalu memecahkannya. Dengan tersenyum, baginda mempelawa sahabat-sahabat makan makanan yang disediakan sambil mengutip piring yang pecah itu seraya berkata, “ jemputlah makan..ibu kalian sedang cemburu..” Kemudian, setelah sahabat-sahabat pulang, baginda menyerahkan piring dari Ummu Salamah yang pecah itu kepada Saidatina ‘Aisyah manakala piring milik ‘Aisyah pula diserahkan kepada Ummu Salamah bagi menggantikannya.

Lihat bagaimana Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seorang pemimpin yang agung, mampu bersabar untuk menyantuni dan cuba memahami sifat cemburu isterinya. Baginda tidak merespons secara negatif terhadap kepelbagaian sifat pasangan, sebaliknya tanpa mempedulikan egonya, baginda mengutip sendiri pinggan yang dipecahkan di hadapan sahabat-sahabatnya sambil cuba mendamaikan keadaan.

3. Memahami dan peka kepada perasaan pasangan:

Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda kepada ‘Aisyah r.a, “ Sesungguhnya aku mengetahui bila kamu senang terhadapku, dan bila kamu sedang marah terhadapku. ‘Aisyah ra berkata: Dari mana engkau mengetahuinya
wahai Rasulullah صلى الله عليه وسلم ?. Baginda menjawab: Bila kamu senang kepadaku, kamu menjawab, ‘’Tidak, demi Tuhan(nya) Muhammad’’, tapi bila kamu sedang marah kepadaku, kamu berkata, ‘’Tidak, demi Tuhan Ibrahim a.s’’. ‘Aisyah ra menjawab: “Ya, benar begitu”.

4. Mengawal/bersifat rasion- al ketika marah:

Sifat Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang rasional dalam mengawal marah dapat dilihat ketika berlakunya peristiwa al-ifk ketika mana Saidatina ‘Aisyah ra telah difitnah. Saidatina ‘Aisyah ra telah
ditimpa sakit akibat kesedihan difitnah oleh golongan munafik. Dalam keadaan begitu, Saidatina ‘Aisyah ra dapat merasakan kesedihan baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana baginda sudah tidak menunjukkan kemesraan. Namun begitu,walaupun runsing dan sedih dengan peristiwa yang berlaku, baginda tidak sedikit pun berlaku kasar atau memarahi isterinya malah masih menjenguk Saidatina ‘Aisyah ra untuk mengucapkan salam dan bertanyakan bagaimanakah keadaannya sehinggalah peristiwa itu selesai dengan turunnya wahyu yang membuktikan kebenaran ‘Aisyah ra.

5. Berlemah-lembut/berhikmah dalam menegur pasangan

Banyak kisah-kisah yang mempamerkan bagaimana baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat berlemah lembut dengan isteri. Diriwayatkan ketikamana Saidina Abu Bakar datang ke rumah baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dilihatnya Saidatina ‘Aisyah sedang meninggikan suara kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lalu Saidina Abu Bakar d pun terus menghampiri dan memegang anaknya kerana marah. Melihat keadaan itu, baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم terus meleraikan tangan mereka dikhuatiri Saidina Abu Bakar r.a berkasar terhadap isterinya.

Sejurus Saidina Abu Bakar pulang dari rumah baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, baginda pun cuba menjernihkan keadaan, tanpa sedikitpun berkasar dengan Saidatina ‘Aisyah, baginda hanya
berkata, “’Aisyah, aku sudah meleraikan tanganmu dari ayahmu wahai ‘Aisyah..” Lalu mereka pun berbaik semula. Lihat bagaimana berhikmah dan lemah-lembutnya baginda terhadap pasangan.

6. Memuji Pasangan

Menyebut-nyebut kebaikan untuk memotivasikan pasangan yang dalam kesedihan, atau sebelum memberi teguran kepada pasangan.

7. Menjadi pendengar yang setia kepada pasangan.

Selain kisah-kisah di atas, banyak lagi kisah dari rumahtangga baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang boleh kita teladani. Mari kita sama-sama muhasabah diri, bagaimanakah layanan kita terhadap pasangan kita (bagi yang sudah berkahwin sahaja), yang adakalanya ianya lebih istimewa terhadap insan
asing yang bukan mahram dibandingkan dengan pasangan yang halal untuk kita, yang semestinya merupakan insan yang paling maklum akan baik buruk dan kelemahan kita dan berjasa untuk
kita.

Teladanilah bagaimana tingginya penghargaan baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم terhadap isteri pertamanya Saidatina Khadijah ummul mukminin walaupun sesudah pemergian beliau.
Moga kita sama-sama berusaha untuk mendalami dan mengenal lebih dekat lagi setiap sisi kehidupan baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seperti dalam ilmu kekeluargaan, ke arah membentuk baitul
muslim, yang mampu teguh menjadi medium, untuk meraih keredhaanNya.
Wallahu a’lam.

Artikel daripada Tarbiatuna Bil 07,oleh Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria, Pengerusi JK Tarbiah Pusat.

Comments