Apa khabar anak-anak UPSR 2016?



Apa khabar anak-anak UPSR 2016?

Jika dihitung melalui perbandingan data, terlalu jauh bezanya dengan jumlah semua A tahun-tahun lalu kesan pertukaran format buat pertama kali tahun ini. Ya jauh sasaran murid sepatutnya mampu mendapat A tetapi keputusan keluar hari ini membuatkan air muka mereka berubah, apatah lagi air muka ibu bapa.

Saya terlibat langsung sebagai pengacara majlis mengumumkan keputusan anak-anak UPSR 2016 di sekolah sebentar tadi.

Sayu suasana dewan. Hampir semua berdukacita.

Disebalik kesedihan, inilah masanya ibu bapa menjadi hero!

Wahai ibu bapa,
Anak-anak perlukan kata-kata kalian.

Berikan waktu hari ini untuk bersama mereka. Percayalah, saat ini akan dikenang oleh anak sehingga bila-bila.

Berikan bahu untuk mereka menangis. Peluk mereka. Tenangkan jiwa mereka.

Katakan kepada anak-anak, "Anak mama tersayang, hari ini telah ditakdirkan inilah keputusan terbaik Allah berikan. Jika kita mengalah dan sedih, itu kekalahan sebenar. Jika kita lagi bersemangat hendak tunjukkan kemampuan di sekolah menengah, itulah kejayaan. Jangan berhenti belajar, 4 subjek sahaja dinilai dalam UPSR. Anak mama ada banyak lagi kepandaian yang belum diuji. Mama sangat percaya anak mama ni pandai. Boleh buat lebih baik. Tanam azam kuat-kuat, jadi manusia yang mama dan abah banggakan. Manusia macam mana mama abah bangga? Manusia yang solat 5 waktu tak tinggal, hormat orang lain, yakin diri mampu berjaya dalam apa jua yang dilakukan dengan sepenuh hati"

Kata-kata inilah yang insan saya cinta tanamkan dalam fikiran saya sejak kecil. Beliau sangat percaya saya boleh berjaya dalam apa jua yang dilakukan sepenuh hati. Namun, hari ini beliau tak dapat bersama saya untuk lihat hasil kata-katanya...

Beliau ialah Allahyarhamah Hasnah Binti Sulaiman, ibunda tercinta.

Wahai ibu bapa, tanamkan keyakinan kepada anak-anak sekarang.

Wahai anak-anak, jangan sedih. Kesedihan bukan milik orang berjaya. Kesedihan adalah senjata buat orang berjaya tambah kuat semangatnya.

Salam kasih sayang,
Cikgu Mohd Aidil Bin Sahipaludin.
Guru Bahasa Melayu Tahun 6,
Kaunselor SK Taman Sutera, JB.
Hubungi untuk jemputan talk : 013 9495483

*Al-Fatihah buat ibundaku tercinta.

https://m.facebook.com/groups/890715987613785?view=permalink&id=1370063243012388

Comments