Kes Buli Di Tganu, Ada lagi yang dibelasah rupa-rupanya




A Latiff (dua kanan) dan Shafruddin Ali (kanan) melawat pelajar yang dibuli, Ahmad Zikrill (berkerusi roda) dan Wan Ahmad Faris (atas katil) yang masih dirawat di Hospital Sultanah NurZahirah. FOTO ROZAINAH ZAKARIA

Zaid Salim

am@hmetro.com.my


PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin mengesahkan terdapat satu lagi kes buli yang berlaku di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus selain kejadian belasah dua pelajar semester satu sekolah berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian pada malam Isnin lalu, Muhammad Luqman Hakim, 17, pelajar tahun dua Jurusan Elektronik dikatakan dibelasah oleh 15 pelajar ketika berada di surau dan asrama antara jam 9.30 hingga 10.30 malam.

Katanya, pelajar berkenaan kini turut dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami kecederaan di badan dalam kejadian itu.

"Kini dua pelajar sekolah berkenaan yang sedang menerima rawatan di HSNZ termasuk Ahmad Zikrill Azim Hasbullah yang bersama rakannya, Wan Ahmad Faris Wan Zakaria masing-masing berusia 16 tahun dibuli pelajar lain bersama rakannya awal pagi semalam.

"Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, kedua-dua kejadian berkenaan berpunca daripada salah faham antara pelajar terbabit.

"Kejadian berlaku dua hari berturut-turut dan pihak sekolah hanya mengetahui kejadian itu pada jam 5 petang semalam," katanya ketika mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, A Latiff Awang melawat mangsa di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, dua pelajar Kolej Vokasional berkenaan cedera selepas didakwa diserang kira-kira 20 pelajar lain dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin di asrama sekolah berkenaan.

Berikutan itu, Ahmad Zikrill yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Wan Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.

Dua sahabat itu mendakwa bukan saja ditumbuk dan ditendang beramai-ramai dalam keadaan muka ditutup dengan selimut malah turut dihempap.

Berikutan kejadian itu, Azim Zikrill membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu petang semalam untuk diambil tindakan selanjutnya.

Comments