Raksasa Kedengkian Pada Pasangan



Pagi tadi terbaca posting Intan Dzulkefli tentang rasa cemburu pada suami. Akhirnya saya rasa "oh normal rupanya aku ni sebab ada isteri lain rasa yang sama". Haha! Selama ni rasa diri jahat sebab selalu dengki dengan suami. Kihkih! Ni bukan cemburu suami dengan perempuan lain ya? Ini sejenis cemburu yang lain.

Screenshot di bawah bukti kedengkian tersebut. Haha! Rantaian mesej tersebut saya hantar kepada suami semasa hari kedua saya menemankan anak di wad bersendirian sedang suami di offshore ketika itu. Nazra si bongsu ditahan di wad kerana pneumonia, maka berperanglah saya seorang diri dengan dia untuk bagi nebulizer, puasakan dia selama 2 jam setiap pagi, tahan perasaan tengok fisioterapis buat suction dan menyuapkan ubat-ubatan. Belum masuk part kena tahan diri nak pergi toilet sebab tak berani tinggal dia selagi belum tidur, takut jatuh katil. Mandi is a luxury haha!

Bila malam rasa sunyi. Yelah perempuankan perlu bercakap 20 000 patah perkataan sehari baru bahagia. Whatsapp suami tapi tak dibalas. Dah agak mesti dia tertidur awal. Maka muncullah raksasa kedengkian berwarna hijau tersebut. Terbayang seronoknya dia dapat tidur awal. Mesti selesa berselimut tebal sorang-sorang sedangkan kita ni setiap malam macam nak patah pinggang susukan anak. Tambah pula anak tak sihat ni memang asyik nak mengempeng je kerjanya.

Siang pulak terbayang seronoknya suami boleh buat sesuatu yang dia seronok buat. He is really passionate about his job. Sedangkan saya baru je nak pegang laptop, anak dah merengek minta perhatian. Dia nak pegi ke mana-mana dia boleh pergi je. Tak payah fikir ada perut yang perlu diisi kenyang supaya tak meragam. Lagi cemburu bila dapat tahu kedai kopi kegemaran kami dah dibuka berhampiran tempat kerjanya. Terbayang seronoknya boleh hirup kopi perlahan-lahan masa waktu rehat sedang saya kopi panas 3-in-1 secawan kadang-kadang jadi kopi ais sebab tak sempat minum. Sobs! Dahsyatkan raksasa kedengkian tersebut?

Maka akibat bisikan raksasa kedengkian tersebut maka terhasillah luahan perasaan seperti di dalam screenshot tersebut. Haha! Memang puas hatilah lepas tulis. Siap plan esok dia touch down nak buat tak layan je, padan muka kau! Sebab raksasa kedengkian biasa datang bersama kawan baik dia raksasa cold war.

Tapi apa suami balas? Dia tak balas dengan cerita dia pun penat kerja pergi offshore cari duit untuk kami. Dia tak cerita dia pening naik chopper untuk balik jumpa kami. Dia tak cerita pun dia pecut dari Kerteh ke Kuantan sebab risau anak bini dalam wad. Walaupun dia boleh je buat macam tu untuk counter hujah saya yang bajet diri sendiri je berkorban dan terkorban. Tapi dia balas,

"Sorry abang tertidur awal semalam. InsyaAllah esok abang balik."

Sobs!

Maka, bila wajah penat dia muncul di pintu wad, pakai baju kuning macam teletubbies tu sambil galas beg dari offshore hati jadi cair. Bertempiaran lari raksasa kedengkian. Raksasa cold war terbakar macam baru lepas diazankan. Ha gitu.

Pernah saya baca, jangan pernah kita merasa hanya diri kita yang berjasa. Sama ada dalam kumpulan, organisasi apatah lagi sebuah perkahwinan. Kalau kita melakukan kebaikan kepada seseorang, dalam hal ini menjaga keperluan anak-anak dan menguruskan rumah tangga, ingatlah bahawa kebaikan itu dari Allah dan kita jadi perantara sahaja untuk menyampaikan kebaikan itu. Boleh sahaja Allah menghantar kebaikan itu lewat orang lain. Kalau kita tak menjaga anak kita Allah boleh je hantarkan orang lain untuk jaga mereka, contohnya. Kalau kita tak jaga hati suami kita, Allah boleh jadi hadirkan wanita lain dalam hidup dia, eh? Aaaaaa!

Formulanya, kalau kita ikhlas dan tak mengungkit, kita dapat pahala. Kalau merasa berjasa dan ujub, kita rasa orang tak boleh hidup tanpa kita, hilanglah pahala itu. Kalau kita merasa cukup berjasa, kita sudah tidak punya pahala. Simple je.

Jadi, setiap kali raksasa kedengkian warna hijau itu muncul, kita halau dia dengan mendatangkan ingatan-ingatan betapa susahnya pasangan kita cari rezeki untuk pastikan kita dan anak-anak hidup selesa. Bila kita dengki tengok dia tidur malam penuh selesa, pandang wajahnya betul-betul, akan nampak sisa penat di wajahnya. Kalau dengki dia segak pergi kerja sedang kita nak mandi pun tak sempat di rumah, kita bagi dia makan banyak-banyak supaya dia boroi maka sudah tidak segak lagi.

Sekian karangan saya untuk malam ini. Haha!

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155714697434694&id=500079693

Comments