Dr. Martens bukan sekadar but [PENGENALAN]



Sebut mengenai but jenama Dr. Martens pasti ramai akan mengingati England, Skinhead dan keganasan, namun tidak kurang juga akan bercerita mengenai fesyen dan gaya pemakaian but ini.

Walaupun ramai yang mengetahui jenama Dr. Martens berasal dari England, namun sebenarnya ia dicipta oleh seorang doktor yang bertugas dalam angkatan tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Dr. Klaus Martens ketika bercuti pada tahun 1945, dia mengalami kecederaan pada bahagian buku lali ketika bermain ski di Bavarians Alps, Jerman menyebabkan dia tidak dapat memakai but tentera yang biasa digunakannya.

Keadaan tidak selesa ketika memakai but tentera membuatkan dia cuba menambahbaik rekaan kasut tersebut dengan menggunakan kulit lembut dan tapak kasut berongga yang diperbuat daripada tayar.

Setelah perang tamat, dia terus menambah baik kasutnya itu dengan membeli kulit dari tukang kasut dan membuat kasutnya sendiri dengan menggunakan mekanisme yang sama iaitu tapak berongga.

Dari situlah bermulanya jenama kasut Dr. Martens yang dicipta di Jerman, namun ia popular dalam kalangan wanita kerana rekaan tapak berongga yang diperkenalkan sehinggakan 80 peratus pelanggan adalah wanita berusia 40 tahun ke atas.

Sehinggalah syarikat pembuat kasut dari England, R. Griggs Group Ltd. membeli hak cipta dan paten kasut tersebut dan mula membuatnya di England pada tahun 1959.

Tarikh 1 April 1960 merupakan hari bersejarah kepada kasut but Dr. Martens apabila kilangnya di Cobbs Lane, Wollaston, Northamptonshire mengeluarkan kasut pertama dan dinamakan 1460. Sehingga hari ini model 1460 itu masih dikeluarkan di bawah kategori vintaj.

Dr. Martens ketika itu mendapat suntikan elemen baharu dengan mereka bentuk semula bahagian tumit agar lebih baik, menambah benang kuning sebagai salah satu identiti dan juga tanda perdagangan pada rongga tapak yang dinamakan AirWair.

Pada ketika itu, kasut ini menjadi pilihan golongan pekerja terutamanya posmen, pegawai polis dan juga pekerja kilang yang ketika itu dalam revolusi perindustrian.

Selepas itu, jenama Dr. Martens pernah mendapat pelbagai jolokan negatif apabila budaya skinhead yang diasaskan oleh golongan pekerja yang menggunakan kasut tersebut untuk bergaduh dan sebagainya.

Sehinggakan ada satu masa kasut tersebut diharamkan untuk memasuki stadium, takut berlaku pergaduhan kerana kasut tersebut boleh menjadi senjata kerana bahagian depan but itu dibuat daripada besi.

Itulah sejarah yang dilalui oleh Dr. Martens sehinggalah hari ini ia popular di seluruh negara sehinggalah ia memasuki Malaysia pada awal tahun 1990-an.

Selain kedai terpilih, pada ketika itu, kasut itu hanya boleh didapati di kedai pakaian terpakai yang mengimportnya dari Amerika Syarikat dan England. Kini jenama Dr. Martens sudah ada di seluruh negara.

Ruangan Fokus minggu ini, berkongsi pengalaman peminat dan pengumpul kasut Dr. Martens di Malaysia.

Tidak keterlaluan dikatakan mengumpul kasut Dr. Martens satu hobi yang mahal kerana sepasang kasut vintaj tersebut yang dibuat di England boleh mencecah harga RM400 hingga RM1,500 sepasang untuk model baharu. – AMIRUL

http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/dr-martens-bukan-sekadar-but-1.300337

Comments