Pendidikan untuk semua, Maszlee garis 3 hala tuju



Pendidikan untuk semua, Maszlee garis 3 hala tuju

Ranjeet Muthukumar

 -

SERDANG: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menggariskan 3 hala tuju bagi memartabatkan sistem pendidikan sesuai dengan visi menjadikan “pendidikan untuk semua.”

Maszlee berkata, beliau menggariskan 3 hala tuju bagi mencapai hasrat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.

“Inilah 2 visi penting yang perlu kita galas bersama,” kata beliau pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 hari ini.

Berucap di hadapan lebih 4,000 hadirin, 3 hala tuju yang digariskan beliau adalah pendidikan berteraskan nilai, peningkatan kualiti seluruh sistem serta dan autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.

Di bawah hala tuju pertama iaitu mengembalikan cinta ke dalam pendidikan, Maszlee berkata, “cinta ialah teras kepada pendidikan.”

“Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka.
“Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya.”

Jelas beliau, penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan.

“Di antara banyak nilai, kita mahu memberikan tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita binakan bersama, iaitu cinta atau kasih sayang, kegembiraan atau kebahagiaan dan saling menghormati,” kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan dan proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu.
“Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai hala tuju kedua iaitu ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan, Maszlee memberitahu, Kementerian Pendidikan akan menjadikan ketinggian kualiti sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama.

“Ketinggian kualiti merangkumi 3 aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan.”
Menurut Mazlee, konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara “four walls of room”.

“Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat. Kita perlu mempunyai ‘mindset’ bahawa dunia ini ialah kelas pembelajaran sepanjang hayat.

“Kita mesti berusaha untuk melahirkan pelajar cemerlang yang berfikiran tinggi, yang membaca, yang mempunyai sifat ingin tahu, dan yang relevan dengan keperluan industri, serta mempunyai kearifan tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat global,” tambah Maszlee.

Mengenai autonomi dan akauntabiliti, yang merupakan hala tuju yang ketiga, Maszlee memberitahu, setiap individu dan institusi mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri.

“Atas dasar inilah kita sangat mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti,” kata beliau.

Katanya, autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita perlu memperhebatkan pelibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan,” katanya.

Comments