JDT nafi wujud insiden tumbuk, tendang

JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menafikan terdapat insiden tumbuk dan tendang di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin ketika perlawanan Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang T-Team pada Sabtu lalu.

Sebaliknya mereka mendakwa Jurulatih JDT, Cesar Jimenez yang menjadi mangsa serangan oleh Jurulatih Kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo serta pemain import, Evaldo Rodriguez.

Peguam JDT, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, insiden di stadium berkenaan telah diputarbelitkan oleh pihak T-Team.

Katanya dalam insiden tersebut, Stefano telah menarik kolar baju Jiminez selain terdapat kata-kata kesat yang dilempar kepada jurulatih terbabit.

“Fakta telah tidak diberikan dengan jelas dan oleh itu En Cesar telah membuat laporan polis menyatakan sebenarnya bahawa beliau yang telah diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan juga dengan seorang pemain yang pakai jersi nombor 16 sebenarnya beliau yang telah diserang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemani Jiminez membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, Johor Bahru.

Turut menemani Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya dan naib presiden 2 PBNJ, On Jabar.

Jelas Baljit, pihaknya menyerahkan kes terbabit kepada pihak polis dan bersedia untuk memberi kerjasama dalam membantu siasatan.

Pada perlawanan pusingan kedua Piala FA, sabtu lalu, pasukan T-Team menarik diri selepas separuh masa pertama dengan alasan bimbang dengan faktor keselamatan.

Johor mendahului dengan jaringan 2-1.

Comments