Amalan mengambil tanah kubur dan kemudian dibacakan Surah al Qadr 7 kali

July 14, 2016


Amalan mengambil tanah kubur dan kemudian dibacakan Surah al Qadr 7 kali.

Jawapan Ustaz Khafidz Soroni:

1. Perkara ini disebut dalam sebahagian kitab-kitab ulama Syafii. Zahirnya masing-masing memetik perkara ini kerana telah ada dalam kitab-kitab yang sebelumnya. Kesemua merujukkan sumbernya kepada 'Alqami (علقمي) sepertimana yang tertulis di hujung nukilan. 'Alqami pula memuatkannya secara wijadah & terputus sanad yang agak jauh.. (maka kemungkinan untuk berlaku silap di mana-mana adalah besar)

2. Kitab yang lebih jauh dan lebih awal lagi setakat yang saya temui, disebut oleh al-faqih al-hubaisyi (beliau merupakan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan wafat pada 782H) di dalam kitab كتاب النورين في إصلاح الدارين. Namun, beliau tidak menyebutkannya sebagai hadis. Hanya dicatatkan begitu sahaja di bawah bab: 'perkara-perkara yang dapat melepaskan daripada situasi-situasi akhirat'.

3. Kemungkinan ini yang lebih tepat, iaitu bukan sebagai hadis, sama ada ia daripada mujarrabat atau pun mukasyafat solihin. Ramai ulama, istimewa ulama-ulama syafii dan ulama-ulama sufi tidak ada masalah beramal dengan mujarrabat dan mukasyafat yang tidak bercanggah dengan syarak yang merupakan pengalaman-pengalaman dan pembukaan-pembukaan rabbani terhadap para solihin dan para ahlullah.

4. Tiada larangan daripada Nabi SAW untuk kita berusaha sedaya upaya membantu saudara mara kita yang telah meninggal dunia dalam menghadapi kesulitan-kesulitan/kesusahan-kesusahan alam akhirat. Sebagaimana juga harus kita berusaha sedaya upaya membantu saudara mara kita yang masih hidup dalam menghadapi kesulitan-kesulitan/kesusahan-kesusahan alam dunia. (Hal-hal seperti ini selama tidak bercanggah dengan syarak banyak diberi perhatian besar oleh ulama-ulama Syafii dan ulama2 sufi جزاهم الله خيرا). Cuma saya berpendapat agar tidak menyandarkan amalan yang tersebut kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam.

Wallahu a'lam.

Comments