ISU MARINA MAHATHIR, NAMAWEE DAN SENSITIVITI AGAMA



ISU MARINA MAHATHIR, NAMAWEE DAN SENSITIVITI AGAMA

Marina Mahathir (MM) telah beranggapan, Muslimin dan Muslimat yang melazimi masjid dan surau untuk beribadat dan menuntut ilmu, yang mengambil Islam sebagai cara hidup, sebagai mereka yang punya banyak masa untuk tersinggung ekoran isu video rapper Namawee.

Saya tidak fikir beliau faham akan sentimen masyarakat Islam yang patuh beragama, yang menghayati kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam memelihara kehormatan dan kesucian rumah ibadat. MM yang 'tersinggung' dengan sensitiviti umat Islam, barangkali tidak faham nilai menghormati masjid yang dipaparkan melalui seruan Rasulullah SAW agar kita menunaikan solat Tahiyatul Masjid (penghormatan masjid) sebaik kita melangkah ke dalam masjid hatta sebelum kita melakukan ibadah lain.

Daripada Abu Qatadah r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seseorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga mengerjakan solat 2 rakaat" (Muttafaqun alaihi)

Maka apabila umat Islam sendiri telah dituntut sedemikian rupa dalam menghormati rumah ibadatnya, adakah wajar dibiarkan Namawee secara wewenang bernyanyian di ruangan solat, apatah lagi segmen tersebut bertujuan untuk melengkapkan keseluruhan video beliau dalam mempromosi fahaman pluralisma, yang juga amat bertentangan dengan ajaran Islam?

Sewajarnya MM menggunakan pengaruh beliau untuk menasihati Namawee tentang betapa rapatnya Muslim dengan institusi masjid dan betapa tinggi penghormatan kita dalam perkara ibadat. Betapa masjid itu institusi kesatuan Islam yang tidak terpisah dari kehidupan kita sehari-hari. Sewajarnya beliau menggunakan pengalaman beliau untuk menasihati bahawa ada berbagai lagi kaedah untuk memupuk muhibah masyarakat, bukan dengan kaedah provokatif dan persendaan.

MM yang juga seorang aktivis hak asasi manusia, mengeluarkan kenyataan yang saya kira keterlaluan, apabila menyentuh sensitiviti agama tidak perlu dianggap sebagai suatu jenayah, sedangkan ia adalah suatu langkah berasas dalam memelihara keharmonian negara berbilang kaum. Kita masih ingat persendaan Alvin Tan dan Vivian Lee ke atas bulan Ramadhan beberapa tahun lalu.

Justeru itu, kita ingin bertanya, adakah MM merestui, kebebasan menghina sensitiviti agama ala Charlie Hebdo bertapak di Malaysia?

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=653633311458798&id=248354411986692

Comments