SOAL JAWAB SIMPANAN SYARIAH KWSP BERSAMA TIMBALAN PENGERUSI JK SYARIAH EPF, PROF. MADYA DR AZNAN HASSAN



SOAL JAWAB SIMPANAN SYARIAH KWSP
BERSAMA TIMBALAN PENGERUSI JK SYARIAH EPF, PROF. MADYA DR AZNAN HASSAN

S: Apakah perbezaan antara pelaburan patuh syariah dan konvensional yang di tawarkan KWSP ini?

J: KWSP mematuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan polisi pelaburan yang melarang KWSP daripada melabur di dalam sektor-sektor yang menggalakkan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol/arak atau membuat, mengedar dan memasarkan senjata api atau peralatan ketenteraan.

Di samping itu, KWSP tidak mempunyai sebarang pendedahan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia.

Namun bagi pelaburan patuh syariah selain daripada pelaburan itu dilakukan di dalam sektor dan aktiviti patuh syariah, struktur pelaburan itu juga hendaklah menggunakan akad2 syariah dan mematuhi parameter pelaburan syariah yang ditentukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah.

KWSP sebagai wakil yang menguruskan pelaburan Simpanan Shariah berdasarkan akad wakalah tidak boleh menjamin keuntungan pelaburan dan dividen yang akan diisytiharkan mestilah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh syariah yang diurus oleh KWSP.

Namun begitu, KWSP masih mengekalkan profil risiko pulangan yang hampir serupa dan objektif serta sasaran strategik pelaburan yang sama seperti Simpanan Konvensional.

Strategi pelaburan KWSP adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif pelaburannya untuk melindungi dan memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli.

Bagi Simpanan Konvensional pula, KWSP bebas membuat pelaburan selagimana ianya selaras dengan prinsip ESG dan ini termasuklah pelaburan di dalam sektor perbankan dan insuran konvensional.

Hatta di dalam simpanan konvensional, secara teorinya, keuntungan dan kerugian masih tetap bergantung kepada prestasi sebenar pelaburan, namun terdapat peruntukan di dalam Akta KWSP yang menjamin dividen yang diisytiharkan oleh Lembaga tidak kurang daripada 2.5%.

S: Prof menyatakan dalam syariah untung dan rugi ditanggung bersama. Jika rugi bagaimana?

J: Secara konsepnya, oleh kerana akad yang digunakan adalah akad syariah, maka jika berlaku kerugian, ianya akan ditanggung oleh pencarum. Inilah intipati akad wakalah yang digunakan.

KWSP mempunyai rangka kerja pengurusan risiko pelaburan yang komprehensif bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya kerugian.

Namun begitu terdapat mekanisma patuh syariah yang diperuntukkan untuk menghadapi situasi ini sekiranya berlaku kerugian yang menjejaskan simpanan ahli (saya katakan jika) di mana simpanan ahli dilindungi melalui pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (Federal Consolidated Fund) dan ianya perlu dibayar balik daripada dana ahli (Kumpulan Wang) seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 28 Akta KWSP.

Dalam hal ini, jika berlaku kerugian sehingga memakan prinsipal pelaburan, KWSP boleh mendapatkan pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan membayarnya kembali apabila ia membuat keuntungan pada tahun-tahun akan datang.

Mekanisme sebegini adalah bertepatan dengan syarak berdasarkan piawaian syariah antarabangsa seperti Piawaian Syariah AAOIFI dan Majma’ Fiqh OIC.

S: Saya difahamkan ASAS sudah lama memperjuangkan supaya KWSP menawarkan caruman patuh syariah ini? Kenapa?

J: ASAS sebagai sebuah Persatuan Penasihat-penasihat Syariah Kewangan Islam telah lama menyeru ke arah perlaksaan lebih menyeluruh terhadap kewangan Islam di Malaysia, termasuklah di dalam skim simpanan pekerja.

Pada hakikatnya initiatif KWSP ini sememangnya suatu inisiatif dalaman KWSP yang amat-amat kita alu-alukan. Selaku Presiden ASAS, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja KWSP, Jawatankuasa Penasihat Shariah dan semua mereka yang terbabit dengan inisiatif penawaran Skim Simpanan Shariah untuk semua pencarum KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara

Skim Simpanan Shariah itu satu asas yang baik untuk pencarum beragama Islam mencari pelaburan yang patuh syariah.

Sebelum ini, umat Islam mahukan simpanan mereka diuruskan mengikut syariah tetapi KWSP tidak menyatakan pelaburan mereka patuh syariah menyebabkan wujud kebimbangan kepada cara pelaburan adakah ianya bertepatan sepenuhnya dengan syarak. Alhamdulillah, sekarang mereka yang mahukan kepastian, mereka boleh memilih Simpanan Shariah ini.

S: Apabila KSWP mengumumkan mahu melaksanakan skim Simpanan Shariah. Apakah reaksi Prof dan persatuan?

J: Dengan adanya pilihan ini, maka pasti ia melegakan umat Islam yang sememangnya menantikan skim Simpanan Shariah ini. Terima kasih kepada KWSP yang peka dan prihatin dengan kehendak pencarum mereka.

Melalui inisiatif berkenaan menjadikan KWSP sebagai sebuah institusi dana persaraan yang pertama di dunia untuk melaksanakan skim simpanan persaraan berlandaskan prinsip Syariah. Penawaran Skim Simpanan Shariah ini melengkapi serta mendokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Ia menyempurnakan lagi batu-bata sistem kewangan Islam di Malaysia

Maka, masanya telah tiba untuk semua ahli, terutama sekali mereka yang beragama Islam untuk memilih supaya akaun mereka diurus serta dilabur mengikut prinsip dan kehendak Syariah. Ini akan memastikan pendapatan pelaburan yang diperolehi dari Skim Simpanan Syariah adalah dari sumber-sumber halal dan menepati kehendak prinsip Syariah.

------

*Prof Madya Dr Aznan Hassan adalah pensyarah IIUM serta pakar di dalam Ekonomi dan Kewangan Islam, penasihat kewangan shariah kepada beberapa institusi kewangan negara. Prof juga adalah Pengerusi Majlis Ulama ISMA.

Comments