BENARKAH SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK LAGI RELEVAN?



-BENARKAH SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK LAGI RELEVAN?-

Adakala kita mendengar suara-suara yang berbunyi bahawa rukhsah solat musafir(tidak lagi sesuai) pada zaman ini. Antara alasan yang paling popular yang digunakan adalah banyaknya RnR di lebuhraya dan masjid/surau di sepanjang jalan.
.

Adakah alasan ini boleh dijadikan hujah yang kukuh bahawa solat musafir sudah tidak relevan pada zaman kini? Mari kita perhatikan bersama-sama secara adil dan saksama.
.

Jika surau dan masjid dijadikan alasan begini, persoalannya adakah syarat untuk mendirikan solat hanya perlu di surau, masjid dan RnR? Jika ini alasannya, maka ia hujah yang tidak kukuh. Manakan tidak kukuh? tiada nas dan dalil yang jelas yang mewajibkan umat Nabi Muhammad -sallallahu 'alaihi wa sallam- mesti bersolat di surau, masjid, rumah dan seumpamanya. Malah terdapat dalil yang menyatakan antara kelebihan umat Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam- dibenarkan solat di mana sahaja di muka bumi Allah ini asalkan tempatnya suci dari najis.
.

Faktanya ini disokong oleh dalil yang sangat kukuh, iaitu bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah -radiyallahu 'anhuma- bahawa Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda-:

أعطيت خمسا ، لم يعطهن أحد من الأنبياء قبلي : نصرت بالرعب مسيرة شهر ، وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا ، فأيما رجل من أمتي أدركته الصلاة فليصل ، وأحلت لي المغانم ، ولم تحل لأحد قبلي ، وأعطيت الشفاعة وكان النبي يبعث إلى قومه خاصة ، وبعثت إلى الناس عامة

Maknanya: "Aku dikurniakan lima (kelebihan) yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku: (1) Aku dikurniakan kemenangan dengan perasaan takut yang dicampakkan ke dalam hati para musuhku, (2) Seluruh tempat di muka bumi dijadikan tempat sujud dan suci untukku, maka sesiapa sahaja dari kalangan umatku ketika waktu solat sudah tiba maka hendaklah dia solat di tempat itu. (3) Harta rampasan perang dihalalkan untukku padahal tidak dihalalkan untuk sesiapa pun sebelumku. (4) Aku diberi hak untuk memberi syafaat. (5) Para Nabi diutuskan khas untuk umat tertentu manakal aku diutus untuk seluruh umat manusia". (HR Imam Bukhari & Muslim)
.

Hadith di atas menjelaskan bahawa umat Islam boleh mendirikan solat di mana sahaja atas muka bumi Allah, bahkan ia menunjukkan solat TIDAK SEMESTINYA didirikan di dalam masjid, surau dan RnR. Ini bermakna di zaman Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam-, Baginda, para sahabat mampu berhenti pada setiap waktu solat di mana-mana sahaja di atas padang pasir, tepi jalan dan seumpamanya, tanpa memerlukan masjid, surau dan RnR.
.

Jelas di sini alasan solat musafir tidak lagi relevan terbatal hanya kerana menggunakan hujah banyaknya RnR dan masjid. Malahan banyak sekali bukti Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam- sujud di atas tanah tanpa dilapik dengan apa kain pun atau alas. Jadi solat tidak semestinya memerlukan tempat yang selesa seperti masjid, surau dan RnR. Antara dalil yang menunjukkan Baginda sujud di atas tanah dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Sa'id al-Khudri -radiyallahu 'anhu- bahawa beliau berkata:

جاءت سحابة فمطرت حتى سال السقف وكان من جريد النخل فأقيمت الصلاة ، فرأيت رسول الله ‏ صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يسجد في الماء والطين حتى رأيت أثر الطين في جبهته.

Maknanya: "َAwan pun datang lalu hujan turun sehingga air mengalir dari atap yang diperbuat dari pelepah tamar, maka iqamat dikumandangkan. Aku melihat Rasulullah -sallallahu 'alaihi wa sallam- sujud di atas air dan tanah(tanah berlumpur) sehinggakan aku melihat kesan tanah pada dahi Baginda". (HR Imam Bukhari)
.

Jelas dari hadith di atas, sejadah yang selesa tidak menjadi syarat untuk mengerjakan solat. Oleh itu terbukti umat Nabi Muhammad -sallallahu 'alaihi wa sallam- boleh solat di mana-mana sahaja tempat yang suci dan tidak terbukti bernajis. Maka tidak wajar seseorang itu menyatakan bahawa pada zaman dahulu solat musafir sangat relevan disebabkan sukar untuk bertemu masjid dan surau, highway dan RnR pun belum wujud lagi. Ini adalah qiasan yang jauh dari sasarannya kerana kerana Baginda dan para sahabat boleh berhenti di mana-mana sahaja untuk solat tanpa memerlukan masjid mahupun surau. Meskipun boleh berhenti di mana-mana, namun Baginda dan para sahabat tetap memilih rukhsah solat musafir.
.

Suka saya kongsikan kata-kata yang dipetik daripada Saidina Umar bin al-Khattab -radiyallahu 'anhu- yang diriwayatkan dari Baginda sebagai bukti bahawa solat musafir senantiasa relevan dulu kini dan selamanya:

عَنْ يَعْلَى بْنِ أُمَيَّةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ، إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} (النساء، ١٠١) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ، فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتُ مِنْهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ» (أخرجه مسلم)

Ya’la bin Umayyah radiyallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa, ‘Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiyallahu 'anhu berkenaan firman Allah, “Maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” sedangkan pada masa sekarang ini manusia telahpun berada dalam keadaan aman”. Umar menjawab: “Aku sendiri merasa hairan seperti kamu, oleh sebab itu aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang perkara itu lalu baginda bersabda: “Ia adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kamu maka terimalah sedekah-Nya". (HR Imam Muslim)
.

Jelas di sini, asalnya pensyariatan solat qasar adalah memberi kemudahan kepada baginda dan para sahabat ketika di dalam peperangan. Kini keadaan sudah aman, tiada lagi peperangan, namun solat qasar tetap relevan dan disyariatkan untuk beramal walaupun suasana sudah berubah. Begitu juga solat jamak masih disyariatkan untuk beramal setiap masa dan zaman walaupun sudah mengalami pelbagai perubahan. Oleh itu hadith Saidina Umar di atas sudah cukup menolak dakwaan solat musafir tidak lagi relevan atau lebih awla untuk tidak diamalkan.
.

Wallahu A'lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10154957281814801&id=582894800

Comments