Yusri ada aura bimbing Kelantan


Oleh Zulhelmi Zainal Azam 25 February

"Macam menang aksi final". Itu yang dapat penulis perkatakan mengenai kejayaan Kelantan malam tadi selepas mereka melakar kemenangan sulung musim ini dengan penuh dramatik dan mendebarkan.

Bukan sekali tetapi dua kali, mereka terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Perak 3-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Kemenangan itu bukan sahaja menceriakan penyokong setia Kelantan yang hadir ke stadium, malah turut memberi kegembiraan kepada kepimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kelantan KAFA terutama presiden Bibi Ramjani.

Tetapi, paling mencuri tumpuan penulis dalam stadium itu adalah individu yang berada di tepi garisan bangku pemain simpanan Kelantan iaitu Yusri Che Lah.

Bayangkan, ketika kedua-dua pasukan sedang berentap sengit untuk mencari gol, penulis hanya tertumpu kepada gelagat Yusri yang pernah mewakili Perlis, Perak, Selangor dan MPPJ ketika kariernya sebagai pemain dahulu.

Berlari, berlompat, berdoa dan bermacam-macam lagi dilakukan Yusri dan paling 'win' adalah ketika pasukannya berjaya meraih gol ketiga menerusi Do Dong-hyun apabila dia berlari deras ke arah kumpulan pemain Kelantan untuk bersama-sama meraikan jaringan itu.

Jelas, ia kemenangan cukup-cukup bermakna buat Yusri yang memangku tugas ketua jurulatih untuk aksi keempat pasukan itu susulan Sathit Bensoh dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), 15 Februari lalu.

Kini, Bibi yang mesra dipanggil Kak Bi 'pening kepala' untuk memikirkan siapa yang layak menyandang kerusi panas ketua jurulatih setelah persatuan itu turut mempunyai tiga calon lain iaitu Fajr Ibrahim, Darren Stewart dam Dejan Antonic.

Penulis difahamkan Yusri belum bersedia untuk menerajui barisan kejurulatihan pasukan itu lagi kerana hanya bersedia menjadi ketua jurulatih untuk pasukan besar pada usia 45 tahun selain mahu menimba pengalaman daripada jurulatih luar.

Apa sekali pun pilihan KAFA dalam masa terdekat ini, diharapkan ia adalah satu keputusan yang tepat bagi memastikan pasukan yang pernah dianggap sebagai gergasi bola sepak tanahair ini terus mewarnai kancah liga utama di Malaysia!

Comments