Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Membaca kalimah Bismallah adalah keutamaan didalam memulakan setiap bentuk pekerjaan yang baik dalam kehidupan kita supaya pekerjaan tersebut mendapat keberkatan kerana kita memulakan dengan menyebut nama Allah SWT. Dalam kehidupan kita seharian kita banyak menyebut nama Allah yang Maha Agung seperti Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim danmengharapkan pertolongan dan keberkatan. Apabila pertolongan telah datang kepada kita maka ini adalah rahmat dari Allah SWT kepada hambanya yang sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Setiap pekerjaan yang mendapat keberkatan menjadi mudah, ringan, berkesan dan mencapai matlamat kerana mendapat rahmat dari Allah SWT.
Dengan membaca kalimah Bismillah akan mendapat rahmat dan keberkataan dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.
Menurut Imam Ahmad Al-Buni didalam Kitab Syamsul Maarif Al-Bakri bahawa membaca Basmallah mendapat keberkatan dari Allah SWT kerana hadis Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. : “Tiap tiap pekerjaan yang baik tidak dimulakan dengan membaca Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, maka pekerjaan itu terputus rahmat Allah”.
Maknanya sedikit keberkatan atau langsung tidak ada keberkatan lagi.
Di larang membaca kalimah Bismallah pada pekerjaan dan perbuatan yang haram atau yang makruh atau apa apa pekerjaan yang keji kerana Basmallah itu sangat sangat di muliakan oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapar satu kisah keberkataan di sebalik membaca Bismillah.
"Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail a.s. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja."
Sahabat yang dikasihi,
Mulakanlah setiap pekerjaan dengan membaca kalimah Bismillah baru disertakan dengan doa-doa tertentu yang diajarkan oleh Nabi SAW. Jika kita belum menghafal sesuatu doa untuk memulakan pekerjaan (seperti doa melihat cermin atau doa memakai pakaian) maka memadailah kita mulakan dengan membaca kaliamah Bismillah. Terdapat riwayat mengatakan bahawa jika kita membaca kaliamh Bismillah sebanyak 21 kali sebelum tidur maka kita tidak akan diganggu oleh syaitan, kecurian dan bala bencana. Wallahualam.
SUMBER
Comments
Post a Comment