GAMBAR rakaman CCTV klia2 menunjukkan seorang wanita yang disyaki pembunuh Jong-Nam.
KUALA LUMPUR: Suspek wanita warga asing yang ditahan polis pada Rabu berhubung kematian abang tiri kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam, dipercayai antara dua suspek wanita yang mendalangi kejadian itu. Sumber memberitahu, pihak polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas. Menurut sumber, kewujudan seorang lagi suspek wanita itu berdasarkan penelitian pihak polis terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu.
"Motif sebenar kejadian ini masih dalam siasatan dan cara Jong-nam diracun dipercayai dilakukan menggunakan salah satu daripada dua cara iaitu sama ada disembur dengan racun atau mukanya ditekup dengan kain yang dibasahi cecair beracun," kata sumber. Semalam, polis menahan seorang wanita warga asing yang menggunakan dokumen perjalanan Vietnam dengan nama Doan Thi Huong berusia 29 tahun, di klia2, kira-kira jam 8.20 pagi.
Ini susulan gambar seorang wanita dipercayai terbabit dalam kes kematian Jong-nam, tersebar di laman sosial sejak kelmarin. Gambar dipercayai hasil rakaman CCTV di klia2 itu memaparkan seorang wanita memakai kemeja T putih dengan tulisan 'LOL', skirt dan beg silang kecil. Wanita itu dilihat menaiki sebuah teksi dan teksi berkenaan dikesan menurunkannya di sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara.
Jong-nam, 46, dipercayai dibunuh menggunakan racun ketika menunggu penerbangan ke Macau di balai pelepasan klia2, pagi kelmarin. Dia menggunakan dokumen perjalanan Korea Utara dengan nama Kim Chol, dipercayai diserang seorang wanita, kira-kira jam 8 pagi ketika duduk sementara menunggu penerbangan terbabit. Jong-nam disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dengan ambulans ke Hospital Putrajaya dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat semalam. Ketika kejadian, Jong-nam dalam perancangan kembali ke Macau selepas tiba di negara ini pada 6 Februari lalu.
Berita Harian
Comments
Post a Comment