Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat. Ini kerana, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan salafussoleh berbuat demikian. Hatta bila Nabi SAW mahu menyertakan doa Saidina Umar RA dengannya, tiada sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran yang dikenakan oleh Saidina Umar RA.
Kami juga melihat, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Sementelahan lagi, ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa.
Berkenaan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ : إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ
Maksudnya: “Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturrahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu samada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda: ‘Ya, perbanyakkannlah.”
(Riwayat Ahmad, no. 10749)
Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dipohon oleh seseorang akan diterima, tetapi bentuk penerimaannya itu pelbagai berdasarkan nas di atas. Samada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari Akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya. Inilah yang ditafsirkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/95). Justeru, penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu akan mengelirukan lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya. Ini menyalahi nas yang sahih lagi jelas.
Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah DIBATALKAN agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menjadikan kita golongan yang benar-benar mengikut syariat-Nya, Amin.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Februari bersamaan 18 Jamadil Awal 1438
Saya BERSETUJU dengan hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh Dato' Mufti antaranya kerana terdapat beberapa keraguan di dalam perniagaannya iaitu
a. Memberikan jaminan 100% pemakbulan doa, sedangkan ianya tidaklah sesuatu yang pasti dan pemakbulan Allah adalah hak mutlak Allah.
b. Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupahkan adalah kemakbulan doa sedangkan makbul atau tidaknya doa itu adalah hak Allah secara mutlak serta ianya bersifat tidak jelas kerana kemakbulan adalah mutlak bergantung kepada-Nya. Ia tetap tidak boleh dilakukan sekalipun ada jaminan wang dikembalikan. Ia juga tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.
c. Servis berkaitan dengan ibadah amat perlu kepada nas kerana asal ibadah itu adalah tawaqquf dan ta’abbudi. Kaedah menyebut الأصل في العبادة التوقف (Asal bagi ibadah adalah terhenti kepada al-Qur'an dan al-Sunnah.)
d. Mengkomersialkan doa dibimbangi termasuk dalam firman Allah SWT:
وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ
Maksudnya: Jangan kamu menjual ayat-ayat-Ku dengan harga benda yang murah
(Surah al-Baqarah: 41)
Saya juga bersetuju dengan kenyataan beliau di atas serta menasihatkan agar pihak penganjur untuk menghentikannya, manakala orang ramai pula agar JANGAN TERTIPU dengan khidmat berunsur gharar yang ditawarkan. Malah terlihat ketamakan penganjur yang mengenakan harga tersangat mahal bagi setiap doa berdasarkan pakejnya yang memalukan Islam. Bimbang timbul pula kelak, valet solat sunat dan lain-lain yang lebih pelik.
Kiriman doa yang ditunaikan secara percuma, inshaAllah ada manfaatnya. Namun, khidmat doa yang berganjaran wang, sudah luput tujuan asal doa darinya, lalu hilang jualah ketajamannya.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
Comments
Post a Comment