Siasat harga makanan mahal di kantin sekolah
AZLINA OTHMAN
14 Februari 2017
Kamalanathan (kanan) berbual dengan antara murid SJKT Ladang Kelan.
KULAI - Kementerian Pendidikan akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha kantin sekolah yang sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan mereka hingga membebankan golongan murid atau pelajar.
Timbalan Menterinya, P Kamalanathan berkata, pihaknya juga bersedia menjalankan siasatan sekiranya menerima aduan daripada ibu bapa berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di sekolah.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima apa-apa aduan daripada ibu bapa berhubung kenaikan harga makanan di kantin sekolah, namun sekiranya ada mereka boleh tampil mengemukakan aduan.
"Pengusaha kantin perlu menjual makanan dan minuman seperti yang dipersetujui dalam tender masing-masing dan tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya.
"Sekiranya aduan diterima, kita akan menyiasatkan dan tindakan tegas boleh diambil ke atas pengusaha kantin yang gagal mematuhi penjualan harga makanan seperti ditetapkan dalam tender masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rintihan masyarakat dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini yang mendakwa berlaku kenaikan harga makanan di kantin sekolah hingga membebankan murid dan pelajar.
Terdahulu, Kamalanathan membuat lawatan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kelan, di sini, hari ini.
Hadir sama; Ketua MIC Bahagian Kulai, S Suppayah dan Guru Besar SJKT Ladang Kelan, S Rajammal.
Mengulas tentang sekolah berkenaan, beliau berkata, ia disiapkan pada tahun lalu membabitkan peruntukkan berjumlah RM5.9 juta di atas tanah seluas 2.8 ekar.
"Sekolah ini dilengkapi enam bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain yang mana pembinaannnya di bawah projek pakej rancangan khas 2012 untuk penempatan baru sekolah.
"Sekolah ini, kini mempunyai bilangan murid seramai 171 orang dan 20 guru.
"Selain itu, kementerian juga ada menyampaikan peruntukan sebanyak RM80,000 kepada sekolah berkenaan tahun ini bagi menjalankan kerja penyelenggaraan yang lain," katanya.
Comments
Post a Comment