Malaysia cari penyelesaian terbaik isu Korea Utara

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bh.com.my




PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (empat dari kiri) mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini berhubung tindakan Korea Utara menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.Turut hadir (dari kiri) Ketua Pengarah MKN Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak, petang tadi, antara lain membincangkan jalan penyelesaian terbaik terhadap isu semasa membabitkan Malaysia dan Korea Utara.

Perdana Menteri menghadiri mesyuarat berkenaan di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini, setibanya dari Jakarta selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA).

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, mesyuarat turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Turut hadir Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Jurucakap PMO berkata, tiada kenyataan lain akan dikeluarkan hari ini selain apa yang dinyatakan Perdana Menteri, tengah hari tadi.

"Perdana Menteri tiba jam 5.35 petang tadi. Mesyuarat diadakan antara lain bagi melihat cara terbaik menyelesaikan isu ini," katanya.

Comments