Rakyat Malaysia selamat tiba dari Pyongyang

JUMAAT, 31 MAC 2017 - 5:16AM

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim; Nasaruddin Parzi dan Suhaila Shahrul Annuar
bhnews@bh.com.my




Pesawat khas yang bawa sembilan rakyat Malaysia dari Pyongyang, Korea Utara selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 5.03 pagi. - Foto Twitter BERNAMA

SEPANG: Sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara sejak 7 Mac lalu susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara, selamat tiba di tanah sebentar tadi.

Mereka tiba pada jam 5 pagi di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menaiki pesawat khas dari Pyongyang, Korea Utara.

Mereka ialah Pembantu Peribadi Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29; suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir); Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, (Kaunselor), isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynor Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta ahli keluarga masing-masing.

Terdahulu, kepulangan mereka dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan penerbangan mereka berlepas meninggalkan Pyongyang pada jam 7.45 malam tadi (waktu Malaysia).

Krisis hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tercetus selepas Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol diarahkan pulang kerana mengkritik pihak berkuasa negara ini berhubung penyiasatan kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing ketika berada di klia2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa membunuh Jong-nam di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu.

Comments