Perkhidmatan pembantu guru belum dapat diperluaskan



MAHDZIR Khalid memberi penerangan mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada majlis Dialog Pendidikan PPPM 2013-2025 hari ini. - UTUSAN ONLINE/FotoBERNAMA

Wan Zulkifli Wan Yaacob
26 Mac 2017 4:39 PM

KUALA TERENGGANU 26 Mac -Kementerian Pendidikan belum dapat memperluaskan perkhidmatan pembantu guru dalam usaha mengurangkan bebanan warga pendidik dalam urusan pentadbiran.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kekangan kewangan masih menjadi penghalang bagi menempatkan mereka di sekolah seluruh negara kerana melibatkan kos yang begitu tinggi.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) di sini hari ini, beliau berkata, namun pihak kementerian berusaha mencari langkah alternatif dalam mengurangkan keluhan guru.

Soal beban tugas guru terutamanya yang berkait dengan pentadbiran masih menjadi keresahan kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Terdahulu semasa berdialog, beliau mengakui pengisian segala data dalam talian yang perlu dilakukan oleh guru dibuat tanpa persediaan yang secukupnya dari segi pencapaian internet sehingga setiap urusan mengambil masa yang panjang dan menganggu tumpuan.

“Sewaktu diperkenalkan sebenarnya, kita masih belum bersedia dari segi capaian internet. Ini perlu diberi perhatian selain mengkaji semula apa yang benar-benar perlu diisi dan dihantar,” ujar beliau.-UTUSAN ONLINE

Comments