25 nombor plat kegunaan rasmi PNB, bukan untuk saya – AWO



 Ainul Asniera Ahsan

 Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengesahkan telah membida 25 nombor plat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kegunaan rasmi organisasi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, nombor plat yang dibida itu bukan untuk beliau sebaliknya sebagai aset jenama PNB.

Abdul Wahid berkata, biarpun dilantik menjadi Pengerusi PNB, beliau masih selesa menggunakan Proton Perdana sebagai kereta rasmi dengan nombor pendaftaran W8D.

“Alhamdulillah saya selesa menggunakan kereta nasional Proton Perdana sebagai kereta rasmi dengan nombor pendaftaran W8D. Nombor tersebut adalah satu manfaat yang saya perolehi semasa berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2013-2016).

“Sebagai seorang daripada keluarga miskin yang telah diberikan pendidikan dan biasiswa di bawah Dasar Ekonomi Baru, saya amat terhutang budi kepada Kerajaan dan Negara Malaysia,” katanya bagi menjawab blog Datuk A. Kadir Jasin yang mempersoalkan tindakan PNB membeli tujuh nombor plat istimewa Pulau Pinang pada harga RM387,835.

Berikut adalah jawapan penuh Abdul Wahid berhubung isu pembelian nombor plat tersebut.

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera,

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada tampalan blog Datuk A Kadir Jasin 8 Julai 2017 berkenaan pembidaan nombor pendaftaran kenderaan siri PNB. Izinkan saya memberikan pencerahan berkenaan isu yang disebutkan.

Sebagai seorang ahli korporat, saya percaya bahawa penjenamaan korporat itu adalah penting untuk memperkukuhkan penambahbaikan secara fundamental sesebuah organisasi. Ini berdasarkan prinsip atau falsafah “Form without substance will not get you anywhere. But when you combine form with substance, you will go a long way”. Falsafah korporat ini telah saya laksanakan dengan jayanya semasa menerajui Kumpulan UEM-Renong (2001-2004), Telekom Malaysia (2004-2008) dan Maybank (2008-2013).

Saya berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk menerajui Kumpulan PNB sebagai Pengerusi Kumpulan pada 1 Ogos 2016. Saya dan Dato’ Abdul Rahman Ahmad yang telah dilantik sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan telah membentangkan Pelan Strategik PNB 2017-2022 pada 26 November 2016. Pelan ini mensasarkan PNB menjadi sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia dengan 3 teras strategi utama iaitu i. Meningkatkan Pulangan Secara Mapan; ii. Memacu Kecemerlangan Operasi dan iii. Pengurusan Pelaburan Berkesan . Pasukan PNB sedang giat melaksanakan Pelan Strategik ini dan Alhamdulillah, reaksi awal pasaran amat memberangsangkan dimana nilai pasaran 6 syarikat-syarikat strategik PNB telah meningkat sebanyak RM31 bilion untuk 6 bulan pertama 2017. Pasukan PNB juga telah berjaya melaksanakan migrasi sistem teknologi maklumat (IT) semasa cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang membolehkan transaksi unit saham amanah ASB/ASN, dll dilakukan tanpa menggunakan buku simpanan lagi. Ini telah memudahkan lagi pelabur untuk berurusan dengan ASNB.

PNB telah ditubuhkan pada tahun 1978 dan bakal menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun hadapan 2018. Kami sedang dalam perancangan untuk memperkukuhkan jenama PNB. Kebetulan siri nombor kenderaan “PNB” ditawarkan oleh JPJ untuk bidaan pada bulan April 2017. Kami telah memohon daripada Menteri Pengangkutan supaya 25 siri nombor PNB (1,2,3,8,10,11,18,20,30,50,60,70,80,90,100,111,118,200,300,400,500,600,700, 800 & 900) dikhususkan kepada PNB tanpa pembidaan. Walaubagaimanapun kami telah diminta oleh JPJ untuk membida nombor-nombor tersebut seperti umum. Jumlah bidaan adalah RM336,059 berdasarkan purata bidaan nombor siri PMY,PMX dan PMW. Ia telah ditingkatkan kepada RM419,006 untuk memastikan PNB mendapat kesemua 25 siri nombor tersebut (purata RM16,760 untuk satu nombor). Nombor-nombor tersebut adalah untuk kegunaan kenderaan-kenderaan rasmi Kumpulan PNB termasuk cawangan ASNB bergerak, kenderaan Hotel-hotel PNB Perdana, PNB Merdeka 118, dll.

Kami membuat keputusan berdasarkan apa yang kami fikir terbaik untuk PNB dalam jangkamasa panjang. Nombor-nombor tersebut bakal menjadi aset jenama PNB dan pembayarannya dibuat secara langsung kepada JPJ tanpa melalui mana-mana agen atau pihak ketiga. Untuk makluman, dana RM419,006 datangnya dari dana milik PNB yang berjumlah RM40 bilion bukan dari dana milik pelabur-pelabur ASNB yang berjumlah RM226 bilion. Jadi, pembelian nombor-nombor tersebut tidak akan menjejaskan pulangan kepada pelabur-pelabur sama sekali.

Untuk pengetahuan, Alhamdulillah saya selesa menggunakan kereta nasional Proton Perdana sebagai kereta rasmi dengan nombor pendaftaran W8D. Nombor tersebut adalah satu manfaat yang saya perolehi semasa berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2013-2016). Sebagai seorang daripada keluarga miskin yang telah diberikan pendidikan dan biasiswa di bawah Dasar Ekonomi Baru, saya amat terhutang budi kepada Kerajaan dan Negara Malaysia. Sebab itulah saya bersedia berkhidmat selama satu penggal dan membuat yang terbaik mengikut kemampuan saya.

Saya bersama-sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB, Dato’ Rahman dan barisan pengurusan PNB akan terus menjalankan amanah yang telah diberikan kepada kami demi kepentingan PNB, 13 juta pelabur-pelabur ASNB dan negara kita Malaysia. Sokongan berterusan rakan-rakan semua amat kami hargai.

Terima kasih & salam hormat.
AWO. 08.07.17.
Previous
Next Post »
Post a Comment
Thanks for your comment