Projek MRT Lembah Klang/Sg Buloh Ke Kajang

July 18, 2017



PROJEK MRT

PROJEK MRT Lembah Klang (KVMRT) melibatkan pembinaan jaringan rel bandar dengan tiga laluan.

Laluan-laluan MRT bersama sistem rel bandar yang sedia ada akan menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Projek MRT Lembah Klang merupakan satu Projek Penggerak Ekonomi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. ETP dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri.

Laluan MRT pertama yang dilaksanakan adalah Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) dengan jarak 51km. Pembinaan jajaran ini telah dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai 2011.


LALUAN SUNGAI BULOH-SERDANG-PUTRAJAYA(LALUAN SSP)

LALUAN SSP adalah laluan MRT kedua yang akan dibangunkan.

Laluan ini akan memberi perkhidmatan di sepanjang koridor yang mempunyai lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya, dan merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.

Laluan yang dicadangkan mempunyai jarak 52.2km di mana 13.5km berada di bawah tanah. Sebanyak 36 buah stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah, akan dibina.

Apabila beroperasi pada suku kedua 2022, Laluan SSP dijangka akan membawa 529,000 penumpang sehari. Ini dijangka akan terus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.

Comments