Herman Blog

Hidup Berkat

Selamatkah anak-anak kita apabila pulang dari sekolah?

http://1.bp.blogspot.com/_C4ryKY4LW-g/TRUx-3GWB0I/AAAAAAAAADQ/pqViCke66o4/s640/normal_653809000_l5B15D.jpg

Gambar hiasan



Oleh Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi

Mukaddimah

Sewaktu menulis artikel ini saya berasa hairan kerana dalam sebuah negara yang bangga dengan Wawasan 2020 yang menekankan sifat kasih-sayang dan keperihatinan dan juga mengatakan negara ini sebagai ’negara Islam’, terdapat banyak kontradiksi dengan bentuk fizikal alam bina.

Untuk menulis artikel ini dan menyaksikan negara Malaysia membangun dengan pesat serta perkembangan bandar-bandar baru dan estet-estet perumahan yang banyak yang telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit – tidak lupa juga kepada kewujudan mahligai Putrajaya – saya berasa malu untuk memberitahu pembaca bahawa kita sebenarnya tidak menunjukkan keperihatinan kita kepada aset bangsa yang paling berharga iaitu…anak-anak kita.

Terdapat banyak permasalahan dalam estet perumahan kita seperti masalah jenayah, kekurangan interaksi sosial, isu keselesaan terma, idea mengenai identiti dan penempatan, isu infestasi rodensia (tikus-tikus) dan juga ketegangan antara budaya-budaya yang berpunca dari seni reka arkitektur.

Walau bagaimana pun, isu mengenai keselamatan kanak-kanak terletak dalam senarai tertinggi saya.

Penulisan ini bertujuan dalam membawa para pembaca untuk melihat betapa seriusnya isu mengenai keselamatan kanak-kanak yang boleh dikaitkan dengan seni reka perumahan dan sekolah, serta untuk membuat anda semua berfikir sejenak tentang beberapa penyelesaian yang mudah untuk diaplikasikan.

Semoga ianya akan sampai kepada kesedaran para arkitek, pemaju perumahan dan autoriti pembinaan.

Keselamatan kanak-kanak dan seni bina sekolah

Ketika saya sedang menunggu waktu sekolah tamat untuk menjemput anak saya pulang di Skudai, Johor, seringkali saya tertanya tentang anak-anak yang baru keluar dari perkarangan sekolah untuk pulang ke rumah menaiki bas atau menunggang basikal – adakah mereka mempunyai ibu bapa atau tidak?

Sebagai seorang arkitek, ahli akademik, dan sebagai seorang bapa kepada lima orang anak, selalu saya berkata kepada isteri saya:

”Anak-anak kita tidak akan saya benarkan naik bas ke sekolah. Biarlah kita (saya dan awak, isteri ku) menjadi drebar bas sekolah untuk anak-anak kita. Kita mempunyai dua buah kereta dan telefon bimbit. Cukuplah.”

Selagi saya nyawa di kandung badan, anak-anak saya yang berumur 10, 11, dan 14 tahun akan dipandu ke sekolah oleh, tidak lain dan tidak bukan, saya dan isteri saya. Saya tidak lagi mepercayai pemandu-pemandu bas.

Saya tidak lagi mempercayai Menteri Pendidikan untuk menjaga keselamatan anak-anak saya apabila loceng terakhir sekolah berbunyi.

Jangan haraplah rakyat Malaysia atau kerajaan untuk membangkitkan apa-apa bantahan umum mengenai perangkap kematian yang terdapat pada tempat yang kita namakan ’sekolah’.

Masalah keselamatan kanak-kanak berkait secara terus dengan pengaliran lalu lintas-pejalan kaki-penunggang basikal dalam sekolah-sekolah dan polisi sekolah-sekolah kita.

Masalah-masalah ini memerlukan kita merancang sekolah-sekolah baru dan peraturan-peraturan zon baru dalam sesebuah kawasan perumahan.

Berebut tempat duduk dalam bas

Marilah kita lihat pada masalah serius tentang kanak-kanak yang sering kali berebut untuk mengambil tempat duduk di dalam bas sekolah.

Sejak berzaman lagi, kanak-kanak akan sentiasa tergesa-gesa untuk mendapatkan tempat duduk kerana ’autoriti’ (ibu bapa, guru besar, PIBG, Jabatan Pengangkutan Jalan, dsb) dengan mudah, telah lupa untuk memastikan kapasiti tempat duduk di dalam bas sekolah.

Kemungkinan besar, jika kita berbuat demikian, desakan hati untuk anak-anak kita berebut tempat duduk dapat dihapuskan.

Kanak-kanak akan berebut untuk mendapatkan tempat duduk yang ’istimewa’ seperti, ’Saya mahukan tempat duduk sebelah tingkap’ atau ’Saya mahu duduk bersama kawan saya’ atau pun juga, ’Saya mahu di hadapan, sebelah pakcik bas’dan sebagainya.

Bagaimanakah keadaan kelam-kabut ini dapat dielakkan? Dengan adanya wajah tegas yang mampu menegur kelakuan yang negatif seperti menolak atau tidak beratur, ianya dapat mengelakkan situasi tersebut.

Saya boleh memahami mengapa guru-guru sekolah tidak mahu mengambil tangungjawab ini. Terdapat banyak kerja-kerja mengajar dan mentadbir sekolah yang dilakukan oleh cikgu-cikgu di sekolah, dan jika saya seorang guru saya pun tidak sanggup untuk mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan murid-murid di luar kawasan sekolah.

Di sebuah sekolah swasta Cina, saya ternampak dua orang pembantu trafik, seorang menolong murid-murid sekolah melintas jalan raya manakala seorang lagi memantau murid-murid itu menaiki bas.

Dengan itu, bukankah patut kita wujudkan pembantu trafik untuk semua sekolah-sekolah? Dalam negara kita yang kaya-raya ini, adakah kita tidak mampu untuk mewujudkannya?

Bahaya bermain di jalan-jalan tepi sekolah

Seterusnya, masalah kanak-kanak bermain ’kejar-kejar’ berdekatan dengan bas-bas sekolah. Kanak-kanak akan sentiasa menjadi kanak-kanak dan akan bermain-main bila-bila mereka boleh.

Jikalau sesiapa sahaja yang berfikir satu wajah tegas boleh mengubah dunia kanak-kanak, saya berbeza berpendapat. Seringkali saya menegur kelakuan kanak-kanak itu tetapi mereka akan mendengar kata saya dalam lima minit sahaja. Selapas itu, mereka akan kembali bermain.

Jadi, apakah yang patut kita lakukan? Satu cara adalah untuk mewujudkan satu polisi yang menyatakan murid-murid sekolah yang basnya belum tiba lagi, tidak dibenarkan untuk meninggalkan kawasan sekolah. Dengan itu, tiada sesiapa yang akan berkeliaran di jalan-jalan raya.

Pastikan murid-murid tersebut dapat menggunakan kantin sekolah untuk membaca, makan, berborak-borak dengan kawan-kawan ataupun menyiapkan kerja sekolah. Sudah tentulah, pemilik kantin tidak akan suka perkara ini kerana mereka baru sahaja membersihkan kantin selepas rehat.

Alternatif lain adalah dengan meletakkan perpustakaan berdekatan dengan jarak visual untuk melihat jika bas sekolah sudah tiba dan fasiliti itu boleh juga dibuka selepas waktu sekolah untuk menggalakkan budaya membaca.

Maka dengan itu, kita mungkin telah menyelesaikan masalah murid-murid daripada berebut-rebut untuk menaiki bas dan berkeliaran dan bermain-main di kawasan bas-bas sekolah tiba.

Kemudian, (masih lagi dalam topik masalah bas) sepatutnya hentian sebelah jalan untuk bas dibina bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Saya berpendapat, ketika para arkitek membuat seni reka sekolah-sekolah, mereka dan kliennya, Kementerian Pelajaran, telah terlupa untuk mengetahui purata bas-bas sekolah yang akan membawa murid-murid ke sekolah dalam perumahan kita yang kononnya dikatakan moden.

Tidak perlu bas sekolah untuk sekolah rendah di Eropah

Sekarang ini, di UK, mereka telah menyelesaikan masalah ini. Tidak ada bas-bas sekolah yang digunakan untuk murid-murid sekolah rendah. Sekurang-kurangnya, saya tidak pula nampak akan bas-bas sekolah selama tiga tahun saya berada di tiga komuniti di Edinburgh, Scotland.

Sekolah-sekolah di sana cukup kecil untuk dimuatkan dalam setiap komuniti di seluruh tempat. Saya masih ingat akan peristiwa bersama rakan-rakan Ph.D saya menemani 25 pelajar sekolah rendah Malaysia untuk melintas jalan di lintasan lampu isyarat untuk pejalan kaki, pada sebelah pagi dan petangnya.

Sekarang, marilah kita berbincang mengenai masalah pengaliran-silang yang wujud pada sekolah-sekolah.

Asingkan laluan kereta, basikal-motosikal dan pejalan kaki

Terdapat tiga jenis ’trafik’ yang keluar dari sekolah. Ianya adalah mereka yang berjalan kaki, yang menunggang basikal atau motosikal, dan yang memandu kereta.

Pemandu kereta yang membawa kereta mereka ke arah pagar sekolah, sepatutnya dipisahkan sama sekali dari penunggang basikal dan motor dan juga mereka yang berjalan kaki.

Kalau ikutkan saya, saya akan membuat zon-zon kawasan untuk meletak kereta yang akan memperlihatkan jalan masuk dan keluar dipisahkan dari murid-murid yang keluar dari bas sekolah, atau pun mereka yang datang dengan menunggang basikal atau berjalan kaki.

Laluan keluar masuk untuk penunggang basikal dan mereka yang berjalan kaki sepatutnya terpisah dan turapan batu sepatutnya diturap sehinggalah masuk ke kawasan perumahan.

Pemaju mahu untung tanpa peduli nyawa kanak-kanak

Rakan saya yang berbangsa Itali menyatakan pada saya, di negaranya jika seorang pemaju perumahan mendapat keuntungan 25 peratus daripada pelaburan, dia menganggap itu adalah suatu kejayaan yang cukup hebat!

Sebaliknya, saya telah diberitahu bahawa di Malaysia, seseorang pemaju perumahan langsung tidak akan menyentuh sesuatu projek jika ianya tidak memberikan pulangan sekurang-kurangnya 100 peratus.

Jadi, apakah masalahnya jika seseorang pemaju perumahan mendapat keuntungan 10 peratus untuk memastikan keselamatan nyawa kanak-kanak dengan adanya turapan pejalan kaki yang baik, untuk berjalan dan menunggang basikal (sepatutnya mempunyai lebar satu meter).

Di Toyohashi, saya melihat kanak-kanak dan orang-orang dewasa menunggang basikal ke mana-mana sahaja termasuk ke sekolah di mana turapan jalan selebar 2 meter dan menggunakan sistem pagar besi yang langsung tidak wujud di Malaysia.

Di Malaysia, hanya ada kereta, kereta, dan lebih banyak kereta dijadikan keutamaan! Selepas membina sebuah bangunan ’Hall of Justice’ di Putrajaya yang bernilai RM270 juta, pada pendapat saya, telah terbukti bahawa memang perhatian kurang diberi terhadap keselamatan aset negara yang paling berharga, iaitu, anak-anak kita, di sekolah.

Kesimpulan

Masa hadapan kita adalah pada anak-anak kita. Tiada masa hadapan jika mereka tidak dapat kekal wujud selepas zaman kanak-kanak mereka. Jika mereka berjaya sekali pun, apakah jeins pemimpin dan rakyat yang akan kita lihat apabila kita tahu yang mereka ini telah hidup dalam keadaan terkongkong dalam estet perumahan…hanya kerana negara kita telah mengabaikan keperluan untuk menjaga keselamatan mereka. – Roketkini.com

Penulis adalah Profesor Jabatan Seni Bina di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori ilmu | pelajaran | sekolah | semasa | serawak dengan judul Selamatkah anak-anak kita apabila pulang dari sekolah?. Jika kamu suka, jangan lupa like dan bagikan keteman-temanmu ya... By : Herman Blog
Ditulis oleh: admin - 26 July 2011

Belum ada komentar untuk "Selamatkah anak-anak kita apabila pulang dari sekolah?"