Ramadan: Menikmati dan Menghargai Sifat Ketuhanan Pada Diri Manusia

http://a8.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/486395_472807022743117_738203357_n.jpg

ANTARA kelebihan Ramadan adalah Allah mahu kita berada di luar kebiasaan fitrah kemanusiaan seperti makan, minum dan seks malah lebih luas lagi adalah kepada segala bentuk perbuatan yang mendatang dosa sama ada kecil mahupun besar. Muslim diperintahkan untuk menahan dan berkata tidak kepada semua jenis keperluan asas yang bertepatan dengan fatrah manusiawi.

Sedangkan sifat-sifat itu adalah sebahagian daripada sifat-sifat malaikat dan Allah sendiri. Ini membawa maksud, andai kita berjaya berkata tidak kepada semua jenis keperluan manusiawi itu, kita punya “kualiti” daripada sifat ketuhanan dan malaikat itu sendiri.

Oleh yang demikian Ramadan adalah bulan di mana Allah mengangkat darjat manusia untuk lebih rapat akan diri-Nya. Bulan dengan perhubungan kezahiran dan kebatinan dengan Allah taala. Malah dijelaskan bahawa Allah sendiri yang akan menganugerahkan pahala kepada mereka yang berpuasa, dan ada pintu khas untuk mereka yang berpuasa dinamakan ar-Rayyan.

Antara sifat yang sangat dikehendakkan dalam Islam khususnya pada bulan Ramadan adalah banyak memberi daripada banyak membeli untuk diri sendiri. Bukankah sifat memberi itu adalah sifat Tuhan yang Maha Kuasa? Tuhan memberi kepada manusia tidak kira apa jenis agama dan bangsa mereka, bagaimana akhlak mereka malah sejahat mana sekalipun. Allah tetap memberi, itu juga adalah kualiti yang Allah inginkan daripada hamba-Nya yang berpuasa iaitu lebih banyak memberi daripada menerima.

Ini bertepatan dengan apa yang digambarkan oleh Qadi Abu Bakar ibn al-Arabi dalam menafsirkan kalimah ahsani taqwim yakni sebaik-baik makhluk yang menerima al-nafkh al-Ilahi yakni hembusan Ilahi. Allah telah menganugerahkan kepada manusia sifat ketuhanan-Nya pada kadar tertentu seperti; hayyan, aliman, qadiran, muridan, mutakalliman, sami’an, bashiran, mudabbiran, hakiman dan lain-lain daripada sifat yang cocok daripada 99 nama-Nya.

Oleh yang demikian, menjadi tradisi para rasul dan nabi, para ulama dan abid menjadikan puasa khususnya Ramadan sebagai sebuah proses kerohanian. Ramadan adalah bulan kerohanian kerana beberapa perkara di atas dan banyak lagi kelebihan lain sebagaimana yang termaktub dalam hadis-hadis sahih selain daripada penyataan al-Quran yang menyatakan bulan ini juga adalah bulan turunnya al-Quran yang menjadi “huda” yakni petunjuk kepada sekalian manusia.

Apabila seseorang Muslim itu berjaya mengharungi bulan Ramadan dengan segala penafian terhadap keperluan dan naluri asasnya, itu membuatkan mereka berbeza dengan manusia yang lainnya. Malah jika mereka berjaya daripada sudut zahirnya yakni menahan dahaga dan lapar, itu sudah cukup untuk memberitahu bahawa mereka sangat boleh untuk berkata tidak kepada perkara yang kononnya menjadi keperluan asas mereka seperti merokok dan perbuatan jahat lain yang bukannya bersifat fitrah dengan naluri kemanusiaan.

Ramadan juga adalah bulan tarbiyah, bulan islah dan tajdid. Makanya madrasah Ramadan adalah waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk melakukan islah dan tajdid dalam segenap dimensi; kerohanian dan fikiran, mental dan fizikal. Dengan suasana perjalanan kerohanian dan intelektual yang tinggi, dengan suasana umat yang sedang jinak hati dan minda mereka dengan sifat ketuhanan.

Betapa ruginya kesempatan ini tidak diambil berat oleh para pendakwah yang memanah mesej-mesej dakwah kepada para hadirin di masjid yang tidak pernah sepenuh sepuluh malam pertama dengan sedikit tazkirah yang berorientasikan hanya keindahan Islam dan apakah itu syurga dan balasan bagi mereka yang melakukan amalan soleh.

Pesta ibadah yang disulam dengan pesta ilmu lebih beerti kiranya diadunkan dengan berhikmah dan cermat. Ini kerana peluang mengumpilkan ramai Muslimin dan Muslimat hanyalah pada bulan Ramadan sahaja. Solat Jumaat juga tidak dapat menandingi kehebatan jemaah solat tarawih khususnya pada sepuluh malam pertama.

Pesan Prof. Dr. Tariq Ramadan, “Ramadan bukan untuk dikejar kuantiti ibadahnya; namun sedalam manakah penghayatan bagi setiap amalan yang dibuat adalah lebih penting.”

_________________________

Rujukan:

Saduran daripada khutbah Jumaat oleh Prof. Dr. Tariq Ramadan di Masjid IJN pada Jumaat, 20 Julai 2012.

Dato’ Dr Siddiq Fadzil. 2012. Melayu dan Islam; Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Bangi: Koleh Dar al-Hikmah. Hlm. 44-45.

Comments