Chong Wei Kongsi minat kereta, jam dengan Lin Dan

Oleh Datuk Lee Chong Wei
bhrencana@bh.com.my



Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan punyai watak berbeza di luar gelanggang.

Di dalam gelanggang kami musuh tetapi di luar kami adalah kawan baik. Ini adalah perumpamaan mengenai hubungan saya dengan pemain China atau yang sering dikatakan sebagai musuh tradisi, Lin Dan. Tidak ramai yang tahu bahawa sebenarnya saya mempunyai hubungan yang baik dengan Lin Dan.

Watak kami ketika beraksi dalam perlawanan memang berbeza kerana masing-masing fokus untuk mencapai kemenangan. Namun, apabila di luar gelanggang, kami adalah kawan baik dan sering bertukar cerita mengenai diri masing-masing. Selain bertemu ketika menyertai kejohanan, kami juga banyak terbabit dengan pelbagai program, terutama untuk mempromosikan badminton bersama.

Cuma, sekarang jarang kami dapat meluangkan masa bersama disebabkan penyertaan dalam kejohanan kami semakin kurang. Sebagai pemain yang semakin berusia, kami mengehadkan penyertaan kami dalam kejohanan bagi memastikan kami kekal pada tahap prestasi terbaik.

Dahulu, kami sering meluangkan masa bersama jika ada peluang. Kami bertukar cerita. Biasalah, apabila lelaki duduk bercerita sesama mereka, topik yang paling popular pasti mengenai kereta atau jam tangan. Kami sebenarnya berkongsi minat yang sama apabila menggemari kereta dan jam tangan.

Jika berjumpa sahaja, itu antara topik yang paling utama untuk dibualkan. Namun, semuanya berubah seiring dengan peredaran masa yang mana kami kini sudah mempunyai isteri dan anak-anak. Sekarang, jika bertemu, topik utama kami adalah mengenai isteri atau anak-anak. Semua soalan berkisar mengenai keluarga.

Jika tenis ada Rafael Nadal (pemain dari Sepanyol) dan Roger Federer (Switzerland), kami ini adalah watak penting untuk sukan badminton dunia. Semua peminat mahu menyaksikan pertembungan antara kami terutama di pentas final. Jika kami buat perhitungan antara satu sama lain, pasti stadium penuh. Begitu juga Nadal dengan Federer yang dianggap legenda sukan tenis, semua mahu menyaksikan perlawanan antara mereka seperti final Terbuka Malaysia yang lalu.

Peminat mahu melihat tahap konsistensi kami ketika di dalam gelanggang. Kami akan pastikan corak permainan kami berkelas dunia dan membuatkan peminat terhibur dengan aksi kami.

Mereka juga mahu lihat kemahiran serta semangat juang kami. Sebab itu, kebanyakan perlawanan membabitkan kami berdua pasti berlarutan sehingga set penentuan. Kami mahu tunjuk, sebagai pemain berkelas dunia, kami memiliki semangat juang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Ketika saingan Seluruh England awal bulan ini, misalnya, ramai yang menjangkakan kami akan buat perhitungan dalam aksi final sehinggakan wartawan bertanya soalan mengenai persiapan saya menghadapi Lin Dan biarpun dia belum turun lagi untuk aksi separuh akhir ketika itu. Belum tahu lagi siapa pemenang yang akan ke final.

Mungkin bukan takdir saya untuk menentang Lin Dan di final Seluruh England, dia tewas dalam aksi separuh akhir kepada juniornya, Shi Yuqi.

Bagaimanapun, peluang untuk peminat menyaksikan pertembungan kami mungkin ada menjelang saingan Terbuka Malaysia di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak bermula 4 hingga 9 April ini. Berdasarkan undian, kami akan bertemu jika masing-masing layak ke pentas final. Apa pun, biar kami fokus saingan pada pusingan awal terlebih dahulu.

Sebenarnya, saingan Terbuka Malaysia di Kuching bakal mengimbau kembali kenangan terindah sepanjang kerjaya saya dalam sukan badminton.

Pada edisi 2006 yang turut berlangsung di stadium sama, saya berjaya menewaskan Lin Dan pada aksi final. Orang kata saya buat 'magis' apabila saya yang ketinggalan 13-20 di set penentuan kembali bangkit untuk memenangi perlawanan 23-21, sekali gus bergelar juara.

Ia sesuatu yang tidak boleh saya lupakan kerana ini berlaku sekali seumur hidup. Jadi, kali ini saya harap tuah itu akan memihak kepada saya dalam misi memburu gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

Saya dapat tahu tiket sudah habis dijual dan itu membuatkan saya bertambah semangat untuk mempamerkan aksi terbaik apatah lagi beraksi di laman sendiri. Saya akan cuba untuk tidak menghampakan peminat di Kuching nanti.

Bagi melakukan persiapan terbaik menghadapi Terbuka Malaysia kali ini, saya membuat keputusan menarik diri daripada Terbuka India di New Delhi minggu ini. Saya mengadakan perbincangan dengan kedua-dua jurulatih saya, Hendrawan dan Tey Seu Bock sebelum buat keputusan ini.

Kami fikir adalah lebih baik saya fokus terhadap proses pemulihan kecederaan lutut yang saya alami sebelum Seluruh England. Seperti semua tahu, keadaan saya ketika di Seluruh England bukanlah yang terbaik kerana baru pulih daripada kecederaan itu.

Jadi, kali ini saya rasakan lebih baik saya tidak menyertai Terbuka India. Saya berasakan saya akan mengalami keletihan jika beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut - Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko kerana fokus utama saya tahun ini adalah Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan. Saya perlu pastikan saya bebas daripada kecederaan.

Penulis adalah pemain badminton nombor satu dunia

Comments